Atlet Serata Dunia Terokai Keunikan di Rumah Panda Gergasi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 14 Ogos 2025
Atlet Serata Dunia Terokai Keunikan di Rumah Panda Gergasi
‘Shubao’, salah satu maskot, dapat dilihat semasa upacara pembukaan Sukan Dunia 2025 di Chengdu, Provinsi Sichuan, di barat daya China pada 7 Ogos 2025. (Xinhua/Liu Kun)

Nota: Artikel dari Xinhua ini diterjemah dan diolah semula oleh People’s Daily Online

Di Chengdu, ibu kota Provinsi Sichuan di barat daya China yang juga tuan rumah bagi Sukan Dunia (TWG) ke-12, atlet sukan bot kuasa dari Kanada iaitu Reanna Deveau telah menari bersama-sama maskot panda gergasi, sambil rambutnya disanggul oleh pin rambut panda yang gebu.

Sebaik sahaja pulang dari pangkalan penyelidikan panda yang terkemuka di bandar itu, dia tidak dapat menyembunyikan keterujaannya, dengan menyifatkan hidupan itu sebagai sangat comel.

Rakan sepasukannya, Mark Andrews, telah merakam momen-momen tersebut menerusi kamera di telefonnya. Kedua-dua atlet itu merupakan antara 6,679 peserta daripada 116 negara dan wilayah di TWG edisi kali ini, iaitu yang terbesar dengan bidang yang paling pelbagai dalam sejarah.

Acara di Chengdu itu menandakan babak terkini kepada satu siri penonton bersemangat sukan berkelas dunia yang dianjurkan oleh bandar-bandar China, susulan kejayaan terdauhlu dalam penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, Sukan Asia Hangzhou, dan Sukan Universiti Dunia FISU Chengdu.

Ikon hitam dan putih

Panda gergasi ikonik Chengdu disifatkan sebagai tarikan yang wajib dilihat oleh atlet antarabangsa.

Atlet dari Switzerland, Fritz Heuscher ketika berkongsikan tentang lawatannya ke Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu menyatakan bahawa pengalaman itu sangat mengujakan.

“Panda gergasi merupakan salah satu kad nama terbaik China. Di luar negara, orang ramai sangat mengenali panda dan mengimpikan untuk datang ke Sichuan agar dapat menemuinya,” ujar Li Desheng, ketua pakar di Pusat Penyelidikan Pemuliharaan Panda Gergasi.

Bagi ramai atlet, seperti Miguel Ribeiro dari Portugal, rasa terpesona terhadap panda tidak terhad kepada sekadar melihat haiwan tersebut di dalam pangkalan penyelidikan sahaja. Ribeiro secara peribadi telah bertukar-tukar tidak kurang daripada 15 pin yang bertemakan panda dalam satu hari sahaja.

“Ini adalah cara baik untuk berhubung. Ramai rakyat China berkongsikan kisah panda masing-masing dengan saya sambil bertukar-tukar pin,” ujarnya.

Tambah Ribeiro, peluang untuk mendengar cerita perlindungan panda telah menunjukkan kepadanya tentang sudut China yang lebih hijau dan comel berbanding yang terdapat di dalam buku-buku.

Hotpot merah, bandar hijau

Chengdu adalah bandar yang kontras. Ia menyaksikan pertembungan antara hotpot yang panas dan alam semula jadi yang menenangkan. Hotpot Bus yang terkenal menawarkan sekilas semangat penuh bertenaga di bandar tersebut.

Para atlet yang sangat teruja untuk merasai salah satu hidangan paling disukai negara tersebut telah berkumpul di dalam bas merah tersebut untuk menikmati hotpot. Peringkat kepedasan beraneka, iaitu daripada ‘berapi’, sederhana kepada tidak pedas – semuanya diperibadikan mengikut individu.

Lai Xin, ketua pengalaman kebudayaan bandar TWG pula menyifatkan hotpot sebagai kunci kepada pertukaran budaya.

Atlet kanu Poland, Mateusz Kaminski yang tidak pernah mencuba hotpot sebelum ini telah menemui kedalaman hidangan itu.

“Saya (pada mulanya) ingat bahawa ia (hotpot) hanya sekadar tentang pedas, tetapi bagi Chengdu itu sendiri, ia mempunyai lapisan-lapisan rasa,” ujarnya.

Di tengah-tengah keghairahan kulinari yang berapi-api di bandar ini terdapat keseimbangan yang tenang, tercermin dalam ruang hijau Chengdu yang luas. Ia mempunyai lebih daripada 1,500 taman, turut merekodkan 40.5 peratus liputan hutan dan 44.7 peratus kehijauan bandar.

Memanfaatkan persekitaran yang subur ini, penganjur TWG memilih untuk menganjurkan 15 tempat luar dalam taman, kawasan air terbuka dan ruang semula jadi yang digunakan semula, seperti padang rumput dan pantai tasik.

Selepas meluangkan masa di bandar, Andrews merenung semula hubungan antara kehijauan Chengdu dan keramahan penduduknya.

“Saya mendapati bahawa sekiranya terdapat lebih banyak kehijauan di sekeliling anda, anda akan rasa lebih gembira. Mungkin itulah sebabnya orang di Chengdu di sini sentiasa bersedia saling membantu dan tersenyum,” katanya.

Hati seperti emas

Layanan baik warga Chengdu telah diterima Andrews sebaik sahaja dia tiba di bandar itu, iaitu ketika berjalan-jalan menerusi kawasan perniagaan dan budaya bersejarah di tengah bandar. Dia disapa oleh seorang pegawai polis China dengan senyuman.

“Selamat datang ke Chengdu, dan selamat maju jaya dalam TWG,” ujar pegawai itu dalam bahasa Inggeris yang lancar, sekali gus menambah lagi keunikan interaksi itu.

Bagi Heuscher, semangat bandar itu yang mengalu-alukan atlet dilihat di mana-mana sahaja. Dia dengan bangga memakai lencana yang mempunyai nama Cinanya iaitu Fu Qiang – satu hadiah daripada seorang petugas di Perkampungan Sukan Dunia.

“Ia kedengaran seperti ‘Fritz,’ iaitu nama saya,” tambahnya lagi.

Sentuhan peribadi itu merupakan sebahagian daripada perkhidmatan yang disediakan di Perkampungan itu, yang menawarkan peluang kepada atlet untuk mempelajari budaya China menerusi aktiviti interaktif.

“Setakat ini, sekitar 900 atlet telah mempunyai nama mereka dalam bahasa Cina,” kata An Xiaoning, ketua program itu.

“Mereka benar-benar mempunyai hati seperti emas,” kata Heuscher.

Video

Berita Berkaitan