- Lain-lain
‘Robocop’ Kini di Jalanan Sekitar Bandar China
![]() |
Anjing robot dan robot membantu polis melaksanakan kerja-kerja pengawasan keselamatan awam di Chengdu. |
Chengdu, salah satu bandar pelancongan utama China yang terletak di bahagian barat daya, secara rasminya telah mengatur duduk polis robot atau ’Robocop’, sebagai sebahagian daripada inisiatif pengawasan pintar menjelang Sukan Dunia pada Ogos nanti.
Di dataran Tianfu, iaitu kawasan awam paling sibuk di Chengdu dengan rekod trafik harian mencapai 100,000 orang menyaksikan lima anggota Robocop telah memulakan tugas pengawasan rutin bersama-sama dengan polis manusia. Bekerja secara berpasangan dan bertukar-tukar pada setiap dua ke tiga jam, ia boleh menghantar imej masa nyata dan amaran kepada pusat operasi untuk membantu petugas yang berdekatan.
Kesemua robot tersebut, termasuk robot kuadruped, robot beroda dan robot humanoid, telah menjalani ujian dunia nyata sejak 16 Jun. Kesemua ujian tersebut telah direka khas untuk menambah baik algoritma pengoperasiannya dalam suasana bandar yang sebenar dan kebolehan untuk mengadaptasi dalam senario yang kompleks.
Sebuah robot humanoid telah menarik perhatian orang awam yang melihatnya sebagai satu kehadiran yang futuristik di bandar Provinsi Sichuan itu berikutan kebolehannya yang menggerakkan lengan seiring dengan lampu trafik untuk memberi panduan kepada kenderaan dan pejalan kaki.
Dilengkapi dengan navigasi autonomi, penghindaran halangan pintar, kebolehan komunikasi jarak jauh dan penstriman audio-video masa nyata, anggota Robocop membantu dalam kerja-kerja pengawasan, melayani pelancong dan mengendalikan trafik. Lebih menarik, ia juga akan pulang ke dok pengecas secara automatik, sekali gus menyaksikan ia boleh berfungsi sepanjang masa.
“Robocop boleh beroperasi semalaman dan pergi ke kawasan berisiko tinggi atau sempit yang agak sukar diakses oleh polis biasa. Ia juga mampu membawa peralatan dan senjata sehingga 20 kilogram, yang sangat membantu buat kami,” ujar Zhang Lihang, timbalan pengarah jabatan pemaklumatan dan teknologi Biro Keselamatan Awam Chengdu.
Katanya, meskipun suhu cuaca mencecah 40 darjah Celsius dan hujan pada minggu ini, Robocop telah melaksanakan tugasnya dengan begitu lancar.
“Sekiranya pelancong mengalami strok haba dan jatuh, Robocop mampu mengesannya dalam tempoh yang singkat, seterusnya memanggil bantuan,” tambah Zhang.
Sementara itu, Xu Qin, ketua divisyen robotik di Pusat Inovasi Robot Humanoid Chengdu merangkap pengeluar bersama Robocop berkata bahawa pihaknya terus memperbaharui algoritmanya dalam mengatur kedudukan di dunia nyata bagi menambah baik kemampuan kawalan pergerakan dan penanggapan alam sekitarnya. Jelasnya, ketika ini, robot beroda telah menunjukkan persembahan yang cemerlang dalam pengawalan kelajuan dan transmisi video yang stabil.
Program Robocop Chengdu secara tidak langsung mencerminkan usaha China yang lebih luas untuk mempercepat industri pintar terkandung dan tenaga produktif baharu termaju. Bandar-bandar seperti Beijing, Shanghai, Shenzhen dan Hangzhou juga sedang menjalankan program perintis dan percubaan dunia nyata.
Pihak industri menganggarkan bahawa pasaran pintar terkandung China telah melangkaui angka RMB480 bilion (sekitar AS$66 bilion) pada 2024. Justeru, dengan kemajuan yang berterusan dalam model bahasa besar, pasaran tersebut diunjur untuk melepasi angka RMB1 trilion menjelang 2031.
- Pertandingan Akhir Roboleague Berlangsung di Beijing
- Kedai 4S Robot Humanoid Pertama di Dunia Bakal Dibuka di Beijing
- Robot Hadir Sekolah Maya di Zhejiang
- Shanghai Anjur Pertandingan Kemahiran Robot Humanoid Antarabangsa 2025
- Ke Arah Masa Depan yang Lebih Cerah Untuk Kewujudan Bersama Manusia-Robot
- Anjing Robotik Kini Jadi Kebiasaan Dalam Kehidupan Harian Rakyat China
- Pertandingan Peringkat Wilayah RoboMaster 2025 Buka Tirai di Changsha
- Beijing Jadi Tuan Rumah Sukan Robot Manusia Pertama di Dunia
- Robot Manusia Sertai Larian Separa Maraton Pertama di Dunia di Beijing
- Robot, Manusia Berluma dalam Separuh Maraton di Beijing