Guangxi Pertingkat Infrastruktur, Mahu Pacu Usaha Bina Gerbang Data ASEAN

Kerajaan Tempatan Guangxi sedang mempercepatkan usaha untuk menjadi gerbang ketersambungan digital bagi negara-negara ASEAN melalui peningkatan infrastruktur utama.

Menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh pejabat penerangannya pada baru-baru ini, inisiatif itu memberi tumpuan kepada tiga bidang kritikal, iaitu untuk memperluas rangkaian kabel darat dan dasar laut, meningkatkan kelajuan penghantaran data, serta memperkemas peraturan data rentas sempadan.

Difahamkan, usaha tersebut bertujuan untuk memudahkan aliran data yang lebih efisien antara China dan pasaran Asia Tenggara.

Pada masa ini, Guangxi mengendalikan 12 kabel darat rentas sempadan yang menghubungkannya dengan negara ASEAN termasuk Vietnam, Laos dan Myanmar, dengan jumlah kapasiti komunikasi antarabangsa melebihi 9,000 gigabit per saat (gbps).

Pada masa sama, wilayah itu juga sedang memperluas sistem kabel daratan yang menghubungkan ASEAN, serta membangunkan koridor data antarabangsa berfokuskan ASEAN melalui Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu.

Hab Komunikasi Antarabangsa Nanning, yang dijangka menjadi pemangkin utama, akan dilancarkan menjelang akhir tahun. Ia bakal membolehkan penghalaan data secara terus ke negara-negara ASEAN, dan diunjur untuk memendekkan jarak penghantaran serta mengurangkan kos komunikasi sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus.

Sebagai contoh, kependaman penghantaran data antara Nanning dan Hanoi dijangka berkurangan daripada 107 milisaat kepada hanya 18 milisaat, iaitu peningkatan kelajuan hampir lima kali ganda. Perkembangan ini dijangka mempercepatkan kerjasama rentas sempadan China-Vietnam dalam bidang e-dagang, penstriman langsung dan perkhidmatan kewangan.

Kini, banyak perusahaan China yang operasi di ASEAN telah menggunakan Zon Perdagangan Bebas Perintis Guangxi untuk pemindahan data antarabangsa dengan lebih efisien. Guangxi juga akan memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi ASEAN untuk menubuhkan zon perintis aliran data merentas sempadan dan pusat data antarabangsa.

Inisiatif ini dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan industri digital rentas sempadan pada masa hadapan.

Video

Berita Berkaitan