“AI for All: China-ASEAN” Serlah Bakat Muda

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 15 Ogos 2025

Chen Shengji dari Indonesia, seorang mahasiswa tahun dua yang membuat pengkhususan dalam e-dagang rentas sempadan di Kolej Vokasional Perniagaan Antarabangsa Guangxi, selatan China.

Pemuda berusia 19 tahun ini biasanya memulakan harinya dengan melayari aplikasi demi aplikasi. Selain menggunakan AI untuk menghasilkan video jualan strim langsung dalam pelbagai bahasa, dia juga mengikuti trend pasaran di seluruh Asia Tenggara.

Selepas dua tahun di Nanning, Guangxi, Chen cekap merebut peluang baru yang dibawa oleh penggunaan AI dalam e-dagang rentas sempadan, dan sudah lama menanam cita-cita untuk menempa nama dalam sektor itu.

Pertandingan Aplikasi Inovasi “AI+E-Dagang Rentas Sempadan” China-ASEAN 2025 dilancarkan. (Foto ihsan penganjur)

Pertandingan Aplikasi Inovasi “AI+E-Dagang Rentas Sempadan” China-ASEAN 2025 dilancarkan. (Foto ihsan penganjur)

Peluang keemasan datang bergolek apabila pertandingan “AI for All: China-ASEAN” membuka tirai di Guangxi pada 19 Julai. Pada hari yang sama, Pertandingan Aplikasi Inovasi turut dilancarkan serentak sebagai salah satu daripada tiga subkategori utama program iaitu Kejayaan berasaskan Senario.

Bersama-sama empat pelajar dari China, Chen membentuk sebuah pasukan multinasional untuk bertanding dalam pusingan awal.

Dua anggota pasukannya yang mahir membuat strim langsung menguruskan operasi platform e-dagang rentas sempadan dalam persekitaran simulasi maya. Dua lagi yang mahir reka cipta, menggunakan alat AI untuk mengoptimumkan bahan promosi bagi produk ASEAN. Chen yang fasih tiga bahasa pula menggunakan alat AI untuk menghasilkan video jualan strim langsung multibahasa, sekali gus memastikan aspek pemilihan produk, gambaran rasa hinggalah penyampaian visual mencerminkan ciri-ciri tempatan yang asli.

Seorang anggota pasukan berlatih membuat promosi strim langsung untuk Pertandingan Aplikasi Inovasi “AI+E-Dagang Rentas Sempadan” China-ASEAN. (Foto oleh Fu Xuantong)

Seorang anggota pasukan berlatih membuat promosi strim langsung untuk Pertandingan Aplikasi Inovasi “AI+E-Dagang Rentas Sempadan” China-ASEAN. (Foto oleh Fu Xuantong)

“Guangxi dekat dengan ASEAN dari sudut geografi dan budaya, menjadikan senario penggunaan AI agak serupa. Pertandingan berorientasikan ASEAN ini menawarkan potensi pasaran yang amat besar, dengan mentor dari industri dan wakil badan pelabur menjadi hakim. Ini peluang yang cukup baik untuk kami cuba-cuba pada kos rendah sambil mendapatkan pendedahan yang begitu tinggi nilainya,” kata Chen.

Dengan bimbingan pengajar, pasukan Chen telah memahiri seluruhnya aliran kerja e-dagang rentas sempadan, bermula dengan pemilihan produk dan penetapan harga sampailah perkhidmatan pelanggan. Pendekatan ini mengubah sesi pembelajaran dalam bilik darjah kepada suatu pengalaman praktikal bagi mereka. Kolej tersebut juga menyediakan sokongan kukuh dari segi penyelidikan pasaran, koordinasi sumber dan pengurusan risiko.

Pengajar memberikan taklimat kepada peserta Pertandingan Aplikasi Inovasi “AI+E-Dagang Rentas Sempadan” China-ASEAN. (People’s Daily Online/Feng Xiaohui)

Pengajar memberikan taklimat kepada peserta Pertandingan Aplikasi Inovasi “AI+E-Dagang Rentas Sempadan” China-ASEAN. (People’s Daily Online/Feng Xiaohui)

Pada masa yang sama, Pertandingan Aplikasi Inovasi AI+Pelancongan Budaya yang juga satu komponen di bawah kategori Kejayaan berasaskan Senario turut dilancarkan.

Di tapak pertandingan pusingan awal peringkat wilayah di Shanghai, Ouyang Wangzi, CEO berusia 22 tahun, dengan penuh yakin diri naik ke pentas membawa maskot AI berbentuk anjing laut “Baobao” untuk pembentangannya. Keterampilannya jauh melampaui usia mudanya.

Ouyang, pelajar jurusan kejuruteraan di Shanghai, telah pun mengasaskan dua syarikat sebelum tamat pengajian. Syarikat keduanya, Shanghai Rongyin Technology Co., Ltd. yang ditubuhkan akhir tahun lepas, telah menerima tempahan daripada beberapa banyak syarikat tersenarai dan persatuan pelancongan budaya dalam masa hanya tiga bulan untuk maskot AI yang dibangunkannya sendiri itu, mengaut hasil melebihi 10 juta yuan.

Ouyang Wangzi membuat pembentangan. (Foto ihsan Biro Pembangunan Data Raya Beihai)

Ouyang Wangzi membuat pembentangan. (Foto ihsan Biro Pembangunan Data Raya Beihai)

“Produk-produk budaya dan kreatif tradisional kurang fungsi interaktif, sedangkan patung mainan lembut yang pintar membolehkan pengguna belajar kisah-kisah kebudayaan melalui perbualan,” ujar Ouyang. Pasukannya memasang “otak AI” dalam patung mainan lembut, menjadikan “Baobao” watak pintar yang mengintegrasikan elemen-elemen budaya Beihai dan Guangxi bersama interaksi dengan ASEAN.

“Melalui pertandingan ini, produk kami telah mendapat pengiktirafan daripada semakin banyak syarikat dan organisasi, sekali gus meluaskan lagi peluang di pasaran,” katanya.

Acara pertandingan menghimpunkan minda muda, membina platform buat golongan muda, dan menjana momentum untuk masa depan. Pertandingan “AI for All: China-ASEAN” Gaungxi ini wadah untuk usahawan muda seperti Chen dan Ouyang melakar haluan dalam bidang yang menjadikan AI kunci kejayaan.

Pertandingan Aplikasi Inovasi AI+Pelancongan Budaya China-ASEAN 2025 dilancarkan. (Foto ihsan penganjur)

Pertandingan Aplikasi Inovasi AI+Pelancongan Budaya China-ASEAN 2025 dilancarkan. (Foto ihsan penganjur)

Video

Berita Berkaitan