- Lain-lain
Bekas Tentera Jadi Renjer Abdikan Diri Lindungi Burung Hijrah di Tasik Poyang
“Lihat, burung-burung sudah mula untuk terbang,” ujar Wang Xialong, seorang renjer di Simpanan Alam Semula Jadi Kebangsaan Tasik Poyang, di Provinsi Jiangxi kepada People’s Daily ketika memerhati burung hijrah menerusi teropongnya di menara pengawal stesen pengurusan tasik itu tatkala fajar mulai menyinsing.
Memerhati kawanan burung hijrah yang bebas berterbangan sudah cukup membuatkan Wang rasa gembira.
Ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin bekas tentera itu selama berdekad-dekad sejak dia mula menyertai stesen pengurusan simpanan alam semula jadi yang terletak di perbandaran Wucheng, kaunti Yongxiu, bandar Jiujiang.
Selepas selesai perkhidmatan dalam tentera pada 1987, Wang telah menghabiskan masa selama 38 tahun menjaga burung hijrah di Tasik Poyang, yang juga tasik air tawar segar terbesar China, sekali gus mewujudkan satu hubungan yang bertahan lama dengan burung-burung di situ.
Mengulas mengenai tekadnya untuk kekal di situ tatkala rakan-rakannya ‘datang dan pergi’, Wang menyifatkan bahawa burung hijrah adalah seperti keluarganya, dan menyatakan dia telah mempunyai tujuan hidup dengan melindungi kesemua khazanah alam itu.
Selama hampir empat dekat, Wang telah menyelamatkan lebih daripada 300 burung yang tercedera, yang kadang-kalanya berisiko tinggi. Pernah suatu ketika, tatkala dia cuba menyelamatkan burung jenjang putih Siberia, dia tergelincir ke dalam paya. Apabila orang kampung cuba menyelamatkannya, ayat pertama yang terpacul dari mulutnya adalah, “selamatkan burung-burung itu dahulu, tak perlu hiraukan saya”.
Kali pertama dia cuba menyelamatkan burung adalah lebih daripada 30 tahun dahulu, iaitu ketika ribut salji pada musim sejuk. Dia meranduk secara berkaki ayam melalui lumpur setinggi lutut, semata-mata untuk membawa pulang seekor burung jenjang putih Siberia yang cedera ke stesen pengurusan Wucheng.
“Selepas menjaganya selama sebulan, luka burung itu sembuh sepenuhnya. Apabila ia dilepaskan, ia terbang mengelilingi atas kepala saya dan berciap, seolah-olah ia sedang mengucapkan terima kasih,” kongsi Wang dengan nada yang penuh keterujaan.
Salah satu daripada penyelamatan yang paling diingati adalah pada Mei 2024, iaitu apabila seorang petugas di stesen pengurusan Wucheng mendapati seekor anak burung jenjang putih Siberia terperangkap dalam paya.
Tanpa berlengah, Wang bersama-sama dengan penyelamat lain telah menaiki bot untuk menuju ke tapak itu. Dia terjun ke dalam air, dan membawa naik burung yang tercedera, kemudiannya menuju ke pusat menyelamat burung hijrah di stesen pengurusan Wucheng.
Pakar-pakar di pusat menyelamat mendapati bahawa burung tersebut telah mengalami keretakan kecil pada sayapnya, sekali gus menjadikan usaha burung itu untuk terbang sebagai mustahil.
“Menjaga burung yang cedera adalah seperti menjaga kanak-kanak, iaitu anda memerlukan masa dan kesabaran,” kata Wang. Dalam tempoh 200 hari seterusnya, dia telah memberi makan, membersihkan lukaa dan melatihnya semula untuk sihat.
Apabila burung tersebut akhirnya dilepaskan, Wang menamakannya Zhulang, yang membawa makna ‘mengejar gelombang’ dalam bahasa Cina, selain turut memakaikan sebuah penjejak satelit yang ringan bagi mengikut rapat perkembangan burung.
“Melihat burung sembuh daripada kecederaan untuk kembali terbang bebas semula di udara membuatkan saya rasa seperti memperoleh kejayaan yang tidak terungkap dek kata-kata,” ujarnya.
Usaha yang berterusan dan penuh teliti terhadap pemuliharaan ekologi dan perlindungan hidupan liar oleh Wang serta rakan-rakannya akhirnya telah membuahkan hasil.
Setakat ini, simpanan alam semula jadi itu telah merekodkan 391 spesies brung, dengan sekitar 700,000 burung hijrah tiba di situ pada setiap musim sejuk, termasuk lebih 95 peratusnya daripadanya adalah burung jenjang putih Siberia. Malah, tasik tersebut sangat sinonim dengan panggilan ‘dunia burung jenjang putih Sibera’ dan ‘syurga burung hijrah’.
Namun, kesemua kejayaan itu tidak datang bergolek. Pada September 2019, dia telah terjatuh semasa mengadakan rondaan, menyaksikan dia mengalami fraktur hancur pada lengan kirinya. Dia kemudian dibedah, dengan beberapa pin keluli ditanam dalam lengannya, sekali gus meninggalkan kesan sepanjang 20 sentimeter.
Hanya dua bulan selepas itu, dia memulakan semula tugas rondaannya meskipun lengannya masih beranduh.
“Banyak yang perlu kami lakukan untuk melindungi burung. Kecederaan saya tiada masalah,” katanya kepada anggota keluarga dan rakan-rakan yang kerisauan.
Dia berkata bahawa dia telah menjadi saksi kepada pertumbuhan stabil populasi burung hijrah. Walapun sukar, dia menyatakan bahawa dia telah memenuhi hasrat sendiri.
Misi Wang adalah lebih daripada sekadar meronda. Dia juga telah membantu dalam usaha menghalang penceroboh dan meningkatkan kesederan awam tentang perlindungan burung hijrah.
Selama bertahun-tahun, dia berjalan lebih daripada 400,000 kilometer ketika meronda dan membantu menangani 180 kes pencerobohan dan merosakkan tanah paya.
Selain itu, dia juga telah melawat kampung-kampung di sekitar serta lebih daripada 20 sekolah, dan berinteraksi secara terus dengan penduduk tempatan dan pelajar tentang usaha pemuliharaan burung.
Hari ini, lebih ramai orang telah bertindak untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan burung. Ramai peminat burung seperti Wang yang telah menyertai rondaan musim panas dan sejuk di simpanan alam semula jadi itu.
Perkara yang lebih menggembirakan Wang adalah perbandaran Wucheng yang pada dahulunya adalah pulau terpencil di tasik itu kini telah menjadi terkenal sebagai hab menonton burung, yang menarik lebih 1 juta pelawat setiap tahun.
Memanfaatkan ekopelancongan yang berkembang mekar, penduduk kampung tempatan sedang menyaksikan penambahbaikan yang berterusan dalam kehidupan mereka.
Tahun ini, Wang akan bersara daripada stesen pengurusan Wucheng selepas berbakti selama berdekad-dekat. Tetapi, dia memberitahu bahawa perjalanannya dalam perlindungan burung masih jauh lagi untuk berlabuh.
“Ia seperti maraton tanpa garisan penamat. Selagi mana saya mampu bergerak, saya akan tinggal bersama-sama burung dan melindunginya selama yang mungkin,” tambahnya lagi.
- Sekitar Tapak Peringatan Penyajak Purba China Du Fu di Gansu
- 17 Tahun Selepas Wenchuan: Harapan Bersinar Gemilang
- Pemuda Uygur Dianugerahkan Teladan Perpaduan Kaum
- Kecekalan Nenek Membuat Lapik Dalam Kasut Untuk Rekrut Baharu
- 15 Tokoh Terima Pingat dan Gelaran Kehormat Tertinggi China
- China Beri Penghormatan Kepada Doktor Teladan 2024
- Tahu Tak Anda Istilah Ruangan Angkasa Ini?
- Penternak Biri-biri Orak Langkah ke NPC
- Melangkaui Batasan: Perjalanan Gadis 16 Tahun
- Guru Bersara Tawar Kelas Bahasa Inggeris Percuma