Menteri Luar China, Afghanistan Bincangkan Isu Pembangunan dan Keselamatan

(CRI)Khamis 21 Ogos 2025

China mengamalkan dasar yang menekankan persahabatan dengan seluruh rakyat Afghanistan, terus menyokong kerajaan Afghanistan mentadbir dengan mampan dan memperjuangkan matlamat mewujudkan masyarakat yang stabil dan aman untuk jangka masa yang panjang.

Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam sesi perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Afghanistan, Amir Khan Muttaqi di sini pada Rabu waktu tempatan.

"Hubungan antara isu keselamatan dan isu pembangunan diharap ditangani dengan baik. Peningkatan kerjasama keselamatan kedua-dua negara boleh dijadikan jaminan bagi kerjasama ekonomi, sedangkan peningkatan kerjasama ekonomi juga kondusif bagi peningkatan kemampuan Afghanistan dalam bidang penjagaan keselamatan.

"Afghanistan diharap terus menumpukan tenaganya memerangi kuasa pengganas Gerakan Islam Turkistan Timur (ETIM) agar membersihkan halangan bagi perkembangan hubungan dua hala," kata Wang.

"Tahun ini ulang tahun ke-70 hubungan China-Afghanistan. China menyokong dasar Afghanistan yang 'berpaksikan ekonomi', bersedia bersama meneruskan persahabatan tradisional, terus memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pertanian, pembasmian kemiskinan, pengairan, kesalinghubungan dan sosiobudaya, supaya dapat membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sekali gus menyumbang kepada kedamaian, kestabilan dan pembangunan serantau," tambah beliau.

Sementara itu, Muttaqi pula menyatakan persahabatan dengan China bagaikan batu asas bagi diplomasi Afghanistan. Negaranya sangat mementingkan keprihatinan China tentang isu keselamatan dan tidak mengizinkan sesiapa pun atau mana-mana kuasa melakukan aktiviti yang mengancam kepentingan pihak China di wilayahnya. Afghanistan komited meningkatkan kerjasama dengan China dalam bidang keselamatan dan anti keganasan, dan bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan serantau untuk jangka masa yang panjang.

Video

Berita Berkaitan