Kenang Kembali Sejarah, Bersama Kejar Perdamaian

(CRI)Rabu 10 September 2025

Sempena memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, terdapat sejumlah tokoh politik dan sarjana terkenal dari pelbagai negara yang memberikan penilaian tinggi terhadap sumbangan China dalam memperjuangkan kemenangan dalam Perang Anti-Fasis Dunia, mengiktiraf jalan pembangunan secara damai yang ditempuh China menyediakan inspirasi dan membawa makna penting terhadap tadbir urus global, serta menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil iktibar dari sejarah, bersatupadu dan bersinergi bagi melindungi keamanan manusia pada masa depan.

Bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Dinesh Gunawardana menyatakan, kemenangan dalam Perang Dunia Kedua bukan sahaja merupakan kejayaan dari segi ketenteraan, tetapi juga merupakan batu tanda manusia dalam menentang fahaman Fasis dan menghancurkan amalan hegemoni.

Beliau menambah, hasil praktis China dalam mewujudkan pembangunan secara damai dalam tempoh 80 tahun yang lalu memberikan inspirasi penting bagi pembinaan semula orde antarabangsa.

Presiden Institut Pengajian Strategik Abad Asia Filipina, Herman Tiu Laurel pula menekankan bahawa China dan Filipina pernah berkongsi nasib dalam perjuangan menentang pencerobohan: pasukan gerila anti-Jepun yang terdiri daripada perantau China pernah berjuang bersama tentera dan rakyat Filipina untuk menentang penjajah Jepun. Persahabatan "berjuang bersama terhadap ancaman luar" ini wujud sebagai ingatan bersama yang mencintai keamanan yang dihargai kedua-dua negara.

Sementara itu, bekas Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda yang menumpu kepada trend kebangkitan "Selatan Global" berkata, sebagai sebuah negara membangun yang kuat dari segi ekonomi, China sentiasa berdiri bersama negara-negara selatan yang lain, tidak pernah mengintai amalan hegemoni, sebaliknya bertindak menyediakan platform bagi tujuan kerjasama dan perkembangan bersama.

Beliau mengharapkan China akan memainkan peranan yang lebih besar dalam mendorong perkembangan "Selatan Global".

Video

Berita Berkaitan