China Jadi Pendahulu Dalam Kapasiti Penstoran Tenaga Jenis Baharu di Dunia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 12 September 2025

Di sebuah pintasan gunung di kampung Jiawa, kaunti Qusum, Shannan, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, barisan unit penstoran tenaga mengeluarkan bunyi dengung perlahan di sebelah sebuah stesen kuasa penstoran solar.

“Kesemua fasiliti tersebut direka untuk bekerja dengan penjanaan kuasa fotovolta. Tenaga elektrik yang dihasilkan pada waktu siang akan disimpan sementara waktu di sini, dan digunakan pada waktu malam ketika permintaan memuncak, sekali gus memaksimumkan kecekapan dan mengelakkan pembaziran,” jelas Cui Guangze, pengurus besar di sebuah syarikat tenaga baharu di bawah China Huaneng Group yang menguruskan kesemua unit penstoran tenaga tersebut.

Proses mengecas pada luar waktu puncak dan menggunakannya pada waktu puncak adalah contoh kepada fungsi sistem penstoran bateri berskala besar, yang kini digunakan di serata susunan pengaplikasian yang semakin berkembang.

Menurut Pentadbiran Tenaga Kebangsaan (NEA) China, menjelang penghujung 2024, jumlah kapasiti terpasang untuk projek penstoran tenaga baharu di China telah mencapai 73.76 juta kilowatt, iaitu mewakili lebih daripada 130 peratus berbanding menjelang penghujung tahun 2023.

China telah muncul sebagai pendahulu global dalam peralatan dan teknologi tenaga baharu, dengan paten tenaga baharunya meliputi lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan di dunia.

Seiring dengan usaha China untuk mempercepat peralihan ke arah tenaga boleh baharu (TBB) dan membina sistem kuasa jenis baharu, penstoran tenaga telah menjadi sangat penting.

Sejak bermulanya Pelan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021-2025), jumlah kapasiti terpasang untuk projek telah berkembang sebanyak 20 kali ganda. Menjelang penghujung Jun tahun ini, kapasiti tersebut telah melonjak lagi kepada 94.91 juta kW/222 juta kWh, iaitu meningkat 29 peratus sejak penghujung 2024.

“Kepentingan penstoran tenaga jenis baharu telah semakin jelas terpapar. Pada 2024, kami telah mendapati penambahbaikan yang signifikan dalam kadar penggunaan berbanding 2023.

“Di kawasan bertaraf provinsi seperti Zhejiang, Jiangsu, Chongqing dan Xinjiang, jumlah penggunaan bersamaan tahunan telah melangkaui 1,000 jam, sekali gus menjadikan penstoran sebagai pendorong utama dalam penggunaan dan penyepaduan TBB,” ujar Bian Guangqi, timbalan pengarah jabatan peralatan teknologi dan penjimatan tenaga NEA.

Pada musim panas ini, dengan permintaan tenaga yang berulang kali mencatatkan rekod tertinggi baharu, iaitu memecahkan rekod 36 kali di serata 16 grid provinsi, NEA telah mengadakan satu percubaan menghantar secara berpusat bagi memanfaatkan penstoran tenaga jenis baharu ketika kemuncak penggunaan musim panas. Percubaan tersebut telah mengesahkan kapasiti sistem dengan berkesan untuk menjamin keselamatan bekalan.

Menjelang penghujung Julai, dalam kawasan perkhidmatan Grid Negara China, tenaga yang boleh dihantar maksimum dari penstoran tenaga jenis baharu telah mencapai 64.23 GW, dengan pelepasan maksimum masa nyata sebanyak 44.53 GW, meningkat 55.7 peratus berbanding tahun terdahulu.

Semasa tempoh percubaan tersebut, kapasiti penggunaan kemuncak kesemua sistem penstoran tersebut hampir bersamaan dengan output tiga Empangan Tiga Gaung, mengekalkan bekalan secara puratanya 2.4 jam semasa kemuncak penggunaan waktu malam dan mendorong kestabilan grid pada waktu kritikal.

Dalam satu kemajuan teknologi yang signifikan, projek penstoran ‘arang batu ke tenaga tambah garam lebur’ terbesar di Suzhou, Provinsi Anhui, timur China pada baru-baru ini melengkapkan fasa percubaan selama 168 jam dan secara rasminya memulakan operasi. Ia sekali gus menandakan penstoran terma garam lebur peringkat jam-gigawatt pertama di China, dan penyepaduan sistem pertukaran dengan unit arang batu.

Sektor penstoran tenaga China kini semakin pesat mempelbagaikan pengaplikasian projek dan mempercepatkan pelancaran pelbagai haluan teknologi. Menurut Bian, pada 2024, NEA meluluskan 56 projek rintis yang meliputi lebih daripada 12 pendekatan teknikal, secara tidak langsung menyediakan momentum kukuh untuk penemuan baharu dalam peralatan dan teknologi teras.

“Kemajuan China dalam penstoran tenaga jenis baharu sedang bergerak daripada penemuan baharu yang terpencil kepada rangka kerja yang lebih sistematik,” ujar Rao Hong, ketua saintis di China Southern Power Grid.

Beliau berkata, teknologi bateri litium sedang melalui penaiktarafan generasi, dengan kemajuan pesat dalam sel bateri, pengurusan terma dan penyepaduan grid. Pada masa sama, penstoran udara termampat, aliran bateri, dan penstoran roda tenaga telah mencapai penemuan baharu kejuruteraan, seterusnya menyokong pengawalan berdurasi panjang yang diperlukan untuk sistem yang boleh diperbaharui tinggi.

Sementara itu, teknologi termaju seperti bateri pejal sepenuhnya dan separa pejal, serta penstoran hidrogen sedang berkembang pesat dalam usaha memenuhi permintaan masa depan untuk kelenturan pelbagai skala masa, keselamatan yang tinggi dan daya tahan dalam persekitaran yang ekstrim.

Video

Berita Berkaitan