China Beri Sumbangan Signifikan Buat Pertumbuhan Ekonomi Serantau, Global – Hun Sen

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Ahad 28 September 2025

Presiden Senat Kemboja, Samdech Techo Hun Sen merangkap pemangku ketua negara menyampaikan ucaptamanya di sebuah acara di Phnom Penh bagi meraikan ulang tahun ke-76 penubuhan Republik Rakyat China, pada 26 September 2025. (Sovannara/Xinhua)

Presiden Senat Kemboja, Samdech Techo Hun Sen merangkap pemangku ketua negara menyampaikan ucaptamanya di sebuah acara di Phnom Penh bagi meraikan ulang tahun ke-76 penubuhan Republik Rakyat China, pada 26 September 2025. (Sovannara/Xinhua)

Presiden Senat Kemboja, Samdech Techo Hun Sen pada Jumaat menyifatkan bahawa China telah mencapai kecemerlangan dalam semua sektor dalam tempoh 76 tahun yang lalu, lapor agensi berita Xinhua.

Ketika menyampaikan ucaptamanya di sebuah acara di Phnom Penh bagi meraikan ulang tahun ke-76 penubuhan Republik Rakyat China, beliau yang juga pemangku ketua negara Kemboja berkata bahawa China telah berjaya mendepani pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang proses membina semula negara dalam tempoh tersebut.

“China telah menjadi hab global untuk ekonomi, perdagangan, pelaburan, kewangan, pengeluaran, industri, sains dan inovasi, sekali gus menyumbang secara signifikan untuk mendorong pertumbuhan ekonomi di peringkat serantau dan dunia,” ujar Hun Sen.

Beliau berkata, sejak China dan Kemboja menjalinkan hubungan diplomatik pada 1958, persahabatan kedua-dua negara yang dipupuk oleh para pemimpin kedua-dua negara terus berkembang lebih kuat dan teguh, dengan kemuncaknya dilihat dalam kerjasama perkongsian strategik komprehensif dan persahabatan yang berperisai.

“Saya sungguh gembira untuk melihat kedua-dua negara mempunyai kerjasama yang rapat dan membuahkan hasil dalam semua sektor, yang mencerminkan perpaduan tradisional dan kerjasama menang-menang,” tambah Hun Sen.

Beliau menyatakan bahawa kedua-dua negara bersetuju pada April untuk membina komuniti China-Kemboja yang berdaya tahan dengan berkongsi masa depan pada era baharu, yang bersesuaian dengan persahabatan berperisai berasaskan prinsip kesamaan, saling hormat dan saling percaya.

Hun Sen berkata, China merupakan pemberi bantuan, pelabur dan rakan dagang utama kepada Kemboja.

“Pertolongan dan kerjasama yang sangat rapat tersebut telah memberi sumbangan secara signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi Kemboja, pembangunan infrastruktur, dan penambahbaikan keadaan kehidupan rakyat Kemboja.

“Kami akan bersama-sama membangunkan ‘Kerjasama Berlian’ kami dan berjaya melaksanakan ‘Koridor Perindustrian dan Teknologi’ serta ‘Koridor Ikan dan Beras’ serta mempercepatkan penyegerakan dan penjajaran antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Strategi Pentagonal Kemboja Fasa I,” katanya.

Hun Sen berkata, Kemboja akan terus bekerjasama rapat dengan China dalam rangka kerja serantau dan antarabangsa, seperti kerjasama ASEAN-China, Kerjasama Lancang-Mekong, Wilayah Kecil Mekong Besar, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk menyumbang dalam mengekalkan keamanan, kestabilan, kemakmuran, dan pembangunan di rantau ini dan dunia.

Video

Berita Berkaitan