Sichuan Pergiat Pembangunan Taman Negara Panda Gergasi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Sabtu 11 Oktober 2025

1. Dua panda gergasi bermain di Pangkalan Panda Bifengxia di bawah Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan China untuk Panda Gergasi Ya’an di Provinsi Sichuan. (Foto oleh Hao Liyi)

2. Foto memperlihatkan panda gergasi liar di kawasan Tangjiahe di Taman Negara Panda Gergasi di Provinsi Sichuan. (Foto oleh Ma Wenhu)

3. Sebuah kampung yang dihiasi dengan elemen bertemakan panda didapati di pintu masuk selatan Taman Negara Panda Gergasi di Provinsi Sichuan. (Foto oleh Ren Yuxin)

4. Foto menunjukkan pusat pendidikan dan pempopularan sains di Taman Negara Panda Gergasi di Provinsi Sichuan. (Foto oleh Hao Liyi)

Seiring dengan inisiatif pembaharuan taman negara China yang memasuki ulang tahun ke-10 pada tahun ini, Forum Taman Negara ketiga telah berlangsung pada Ogos lalu di Chengdu, Provinsi Sichuan di barat daya China.

Sebelum berlangsungnya forum tersebut, duta besar dan kaunselor dari New Zealand, Belgium dan Belanda, bersama-sama dengan wakil-wakil daripada Tabung Alam Sekitar Sejagat telah melawat Pangkalan Panda Bifengxia di bawah Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan China untuk Panda Gergasi Ya’an serta kawasan Yingjing di Taman Negara Panda Gergasi kaunti Yingjing.

Kesemua mereka telah berpeluang untuk menyaksikan sendiri pencapaian China dalam usaha pemulihan panda dan ekologi.

“Setakat penghujung tahun lalu, pusat itu telah menempatkan sebanyak 387 ekor panda gergasi. Usaha pemulihan dan pembiakan kini sudah beralih daripada sekadar meningkatkan angka kepada menambah baik kualiti keseluruhan populasi,” ujar Huang Zhi, pengarah Pangkalan Panda Bifengxia di bawah Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan China untuk Panda Gergasi Ya’an.

Untuk rekod, populasi panda liar China telah bertambah daripada 1,000 pada 1980-an kepada 1,900 pada hari ini, yang didorong oleh program pengenalan semula, pembiakbakaan kurungan, dan perlindungan habitat.

“Belgium telah berganding bahu dengan China untuk pemuliharaan panda selama bertahun-tahun,” kata Annabelle Schreiber, atase pertanian dari Kedutaan Besar Belgium di China, sambil menyatakan mereka telah menyaksikan pertumbuhan pesat populasi panda liar, dan berharap untuk melihat kemajuan lebih besar dalam kerjasama masa depan.

Taman Hutan Negara Longcanggou di kaunti Yingjing kini menjadi destinasi pelancong yang popular. Ramai pengunjung akan singgah di kampung Fazhan yang terletak berdekatan dengan pintu masuk selatan taman itu untuk berehat dan meneroka.

Sejak projek rintis Taman Negara Panda Gergasi dilancarkan pada 2017, populasi tetap di kampung Fazhan dan fasiliti pertanian hiburan serta inap-sarapan telah melonjak sebanyak dua kali ganda, sementara pendapatan per kapita secara puratanya bertambah sebanyak empat kali ganda.

Menurut Zhou Hong, seorang penduduk kampung tempatan, sejak taman itu ditubuhkan, kedatangan pelancong terus bertambah, dengan musim kemuncaknya adalah dari Julai hingga September, iaitu waktu yang sukar bagi pelancong untuk menempah bilik.

Secara rasminya, Taman Negara Panda Gergasi tersebut telah ditubuhkan pada 2021. Seksyen Sichuan taman itu meliputi sebanyak 88 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan. Berkeluasan sehingga 19,300 kilometer persegi, ia menempatkan sebanyak 1,227 panda gergasi liar, iaitu lebih 91 peratus daripada populasi panda keseluruhan taman itu, di samping dengan lebih daripada 10,000 spesies lain termasuk monyet hidung pendek dan terjungkit emas Sichuan dan burung monal China.

Seksyen Sichuan merangkumi zon perlindungan teras berkeluasan 13,200 kilometer persegi dan zon kawalan am sehingga 6,100 kilometer persegi. Bagi melindungi kawasan tersebut, 106 grid pengurusan dan 663 laluan pemantauan tetap telah diwujudkan.

Pada 2024 sahaja, renjer telah melengkapkan 75,400 pemantauan yang meliputi lebih daripada 94,5000 kilometer, selain turut merekodkan 55 pemunculan panda dan 2,005 jejak aktiviti tersebut. Selain itu, tujuh koridor ekologi telah melalui usaha pemulihan yang berterusan, dengan hampir 331,400 mu (sekitar 22,093 hektar) habitat telah dibaik pulih.

Teknologi kini sedang mengubah usaha pembaikpulihan. Satu jaringan pengawasan yang dilengkapi 3,871 kamera inframerah telah menangkap lebih daripada 3,870 imej panda gergasi liar pada 2024. Taman itu telah mengenal pasti 36 spesies haiwan liar, dan menyusun ‘kad ID DNA’ untuk panda gergasinya, sambil mendahului teknologi ‘pengecaman muka panda’ yang membolehkan penghantaran imej dan video secara tanpa wayar pada masa nyata.

Pada 2025, ‘kolej panda gergasi’ China yang pertama di Sichuan akan mendaftar masuk sebanyak 111 pelajar ijazah sarjana muda dan sarjana untuk melatih pakar perlindungan generasi baharu.

Video

Berita Berkaitan