- Lain-lain
Manuskrip Sutera China Berusia 2,300 Tahun Pulang ke Pangkuan Selepas Lapan Dekad di Luar Negara
![]() |
Upacara penerimaan Manuskrip Sutera Zidanku (Volum II dan III) diadakan di Muzium Hunan di Changsha, Provinsi Hunan di tengah China pada 13 Oktober 2025. (Xinhua/Zhenhai) |
Dua volum manuskrip sutera China yang bersejarah 2,300 tahun akhirnya pulang ke tengah China, iaitu setelah 79 tahun diseludupkan ke luar negara, menerusi kerjasama antara institusi budaya Amerika Syarikat (AS) dan China.
Volum kedua dan ketiga Manuskrip Sutera Zidanku, iaitu artifak budaya penting sejak zaman Tempoh Negeri-negeri Berperang (475-221 SM), secara rasminya telah dikembalikan ke Provinsi Hunan, seterusnya akan diarkibkan di Muzium Hunan di Changsha.
Manuskrip tersebut yang digali dari makam negeri Chu oleh penyerang makam di tapak Zidanku di Changsha pada 1942, meliputi tiga volum iaitu ‘Shishi Ling’, ‘Wuxing Ling’ dan ‘Gongshou Zhan’.
Kesemua itu merupakan rekod sistematik tentang astronomi, kalendar, kosmologi, dan peramalan ketenteraan daripada tempoh pra-Qin China. Manuskrip sutera adalah contoh terawal teks sutera yang dijumpai setakat ini dan buku China klasik tertua dalam erti kata sebenar.
Semasa upacara penerimaan Manuskrip Sutera Zidanku (Volum II dan III) pada Isnin, ketua Pentadbiran Warisan Kebudayaan Negara (NCHA), Rao Quan berkata bahawa pengembalian manuskrip tersebut adalah kejayaan signifikan selama bertahun-tahun kerjasama muzium dan kebudayaan China-AS, selain merupakan contoh kepada kerjasama antarabangsa untuk pemulangan artifak.
Menerusi kerjasama China-AS untuk kepulangan khazanah budaya, volum ‘Wuxing Ling’ dan ‘Gongshou Zhan’ telah dikembalikan kepada China oleh Institusi Smithsonian Muzium Seni Asia Negara pada tahun ini, dan tiba di Beijing pada 18 Mei.
Duan Xiaoming, kurator Muzium Hunan berkata bahawa pemulangan artifak itu akan membolehkan Muzium Hunan untuk menggabungkan volum yang pulang tersebut dengan koleksi sedia ada, termasuk satu-satunya serpihan asli manuskrip Zidankan, serta artifak lain negara Chu.
Manuskrip yang pulang itu telah melalui pemerhatian penyesuaian alam sekitar selama 14 hari setelah tiba di Muzium Hunan pada 10 September. Selepas melalui satu penilaian yang tidak merosakkan, ia kini disimpan dalam persekitaran yang dikawal suhu dan kelembapan.
Satu pasukan pakar sedang menyelidik secara saintifik rancangan pembasmian kuman mikrob dan menjalankan eksperimen simulasi untuk memastikan proses pensterilan tidak merosakkan bahan atau dakwat manuskrip.
Muzium Hunan juga telah melengkapkan pengimejan yang berpiawaian untuk semua manuskrip sutera, menemui lebih 40 aksara dakwat yang sebelum ini tidak dapat dilihat pada sehelai sutera yang belum dipisahkan sepenuhnya.
![]() |
Pekerja bersedia untuk melaksanakan koleksi imej berpiawaian tentang Manuskrip Sutera Zidanku di Muzium Hunan, Changsha, Provinsi Hunan pada 11 September 2025. (Xinhua/Xue Yuge) |
![]() |
Foto memperlihatkan bahagian Manuskrip Sutera Zidanku di Muzium Hunan, Changsha, Provinsi Hunan pada 11 September 2025. (Xinhua/Xue Yuge) |
![]() |
Pakar mengenal pasti Manuskrip Sutera Zidanku di Muzium Hunan, Changsha, Provinsi Hunan pada 11 September 2025. (Xinhua/Xue Yuge) |
![]() |
Wartawan mengambil foto Manuskrip Sutera Zidanku yang dipaparkan di Muzium Hunan, Changsha, Provinsi Hunan pada 13 September 2025. (Xinhua/Chen Zhuenhai) |