Broked Li ‘Tenun Jalan’, Mara ke Pentas Global

Provinsi Hainan di selatan China kini aktif untuk memajukan usaha perlindungan broked Li, iaitu tekstil tradisional kumpulan etnik Li, selain cuba menambah baik tarikannya di pentas global. Malah, broked Li turut terkenal dengan gelar ‘fosil tekstil’ dalam industri tekstil China.

Pada 23 Mei, semasa berlangsungnya Minggu Hainan di Pavilion China pada Ekspo Osaka 2025, Ren Jiaming dan para pelajarnya dari Universiti Hainan telah mengenakan busana yang menampilkan corak broked Li, kemudiannya berarak di bahagian luar pavilion, sekali gus menarik sejumlah besar penonton mengerumuni mereka untuk bergambar bersama-sama.

Tidak lama sebelum acara itu bermula, Tan Chaoyan yang merupakan penenun broked Li telah ke Paris dengan alat tenun tradisionalnya untuk memenuhi undangan bagi menunjukkan demonstrasi teknik broked Li pada Minggu Fesyen Paris.

Tan Chaoyan (kanan) memaparkan teknik broked Li pada Minggu Fesyen Paris. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Tan Chaoyan (kanan) memaparkan teknik broked Li pada Minggu Fesyen Paris. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

“Ini menandakan kali kedua broked Li Hainan muncul di Minggu Fesyen Paris,” ujar wanita yang merupakan pewaris teknik memintal, mewarna, menenun dan menyulam tekstil Li tradisional dari bandar Wuzhishan, Hainan.

“Saya berasa sangat berbangga dapat memaparkan kecantikan broked Li ke dunia fesyen antarabangsa,” kata Tan.

Bagi Véronique Leroy, pereka bentuk yang menggabungkan corak broked Li termasuk Dalishen (Tuhan Kekuatan) dan burung Gangong dalam hasil seninya itu telah menyatakan bahawa beliau terpesona dengan corak broked Li, dengan menyifatkan elemen-elemennya sebagai sangat moden dan grafik, seterusnya berintegrasi secara penuh indah dalam hasil kerja beliau.

Untuk menghasilkan broked Li yang mengikut arus fesyen terkini dan bertaraf antarabangsa, bandar Wuzhishan telah berkolaborasi dengan sekolah seni utama di Itali iaitu Instituto Marangoni, bagi melancarkan sebuah program latihan bakat pada Ogos 2023, dan memilih 30 artisan broked Li untuk program tersebut.

Kraftangan yang diinspirasikan oleh broked Li. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Kraftangan yang diinspirasikan oleh broked Li. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Menjelang penghujung 2024, sembilan bandar dan kaunti di Hainan telah mempunyai lebih daripada 470 wakil pewaris teknik memintal, mewarna, menenun dan menyulam tekstil Li tradisional.

Zhang Xintong, individu yang bertanggungjawab untuk membawa kembali broked Li ke Minggu Fesyen Paris, telah menghadiri Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China Kelima (CICPE) di Hainan, yang menawarkan peluang bagi mendekatkan broked Li lebih dekat dengan pengguna.

Tertarik dek dasar Pelabuhan Perdagangan Bebas, beliau memulakan perniagaannya di Hainan. Sebagai Ketua di Syarikat Li Brocade Elements (Hainan) Technology, beliau telah menerokai cara untuk menjadikan broked Li sebagai satu ikutan trend dan juga satu perindustrian.

Di venue utama CICPE, Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Hainan, Zhang dan pasukannya telah mempamerkan selendang yang diinspirasikan oleh cadar katil purba yang dipamerkan pada Muzium Etnologi Provinsi Hainan. Selendang itu kemudiannya mendapat pujian daripada pedagang yang menghadiri ekspo tersebut.

Di Kompleks Beli-belah Bandar Bebas Cukai Antarabangsa Haikou, sebuah sub-venue CICPE, 35 broked Li ciptaan Véronique Leroy dan pelajar Istituto Marangoni iaitu Tan Yanyu telah diperagakan di pentas peragaan.

Semasa pusingan akhir, Zhang naik ke pentas dengan memakai kemeja-T putih bercetak corak broked Li, yang menzahirkan harapan agar lebih ramai golongan muda akan memakai pakaian broked Li dalam kehidupan seharian.

Pada Mac lalu, Hainan mengeluarkan rancangan lima tahun untuk perlindungan dan pembangunan teknik tekstil Li tradisional seperti memintal, mewarna, menenun dan menyulam.

Difahamkan, pelan itu memerlukan promosi antarabangsa yang lebih besar bagi budaya broked Li, menggalakkan wakil pewaris warisan budaya tidak ketara untuk menyertai dalam pertunjukan fesyen utama di seluruh dunia, dan menyokong syarikat dalam mengembangkan eksport produk broked Li.

Nicki Johnson, seorang pereka dari Amerika Syarikat di kedainya yang terletak di Baishamen Park, Haikou, ibu kota Provinsi Hainan di selatan China. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Nicki Johnson, seorang pereka dari Amerika Syarikat di kedainya yang terletak di Baishamen Park, Haikou, ibu kota Provinsi Hainan di selatan China. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Nicki Johnson, seorang pereka dari Amerika Syarikat telah mengusahakan sebuah kedai bernama Island Delights di Baishamen Park, Haikou di ibu kota Provinsi Hainan.

Kedai tersebut menjual produk berinspirasikan broked Li yang direka sendiri, termasuk magnet peti sejuk, rantai dan klip rambut, serta karya broked Li hasil ciptaan penduduk kampung di Hainan.

“Ramai pelanggan asing datang untuk membeli hasil seni ini. Saya mahu membuat yang terbaik untuk mempromosi budaya broked Li dan menyokong seni tempatan,” ujar Johnson.

Pada Disember tahun lalu, UNESO telah memasukkan teknik tekstil Li tradisional ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

Dengan broked Li yang semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa, kedai Johnson turut aktif menjadikan suasana kedainya lebih bersifat antarabangsa, dengan menjual produk bertemakan broked Li yang dihasilkan oleh artis dari pelbagai negara. Malah, kedai itu juga kerap menganjurkan pameran seni antarabangsa yang menampilkan hasil seni bertemakan broked oleh artis dengan pelbagai latar belakang.

“Hasil kraftangannya cantik. Ia menyentuh hati apabila melihat orang asing menghargai dan mempelajari tentang budaya kita,” ujar Tan Chaoyan, yang menzahirkan harapannya agar broked Li terus memenangi hati peminat antarabangsa.

Fu Xiorong, ketua Parti dan pengarah Suruahanjaya Hal Ehwal Etnik Provinsi Hainan berkata perkara yang unik bagi negara juga adalah penting buat dunia. Beliau berkata, pihaknya akan terus mempromosi pembangunan inovatif kraf pelbagai kumpulan etnik, termasuk broked Li, tembikar Li dan sulaman Miao.

Video

Berita Berkaitan