- Lain-lain
China, Sri Lanka Komited Jaga Kepentingan Bersama Negara Selatan Global
China dan Sri Lanka perlu meningkatkan koordinasi dan kerjasama dalam kerangka pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempromosikan multipolarisasi dunia yang adil dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif demi keuntungan semua, selain mempertahankan kepentingan bersama Negara Selatan Global.
Demikian ujar Presiden China Xi Jinping pada Selasa ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Sri Lanka Harini Amarasuriya, yang berada di Beijing untuk menghadiri Sidang Kemuncak Wanita Global.
Xi menyatakan, China menyokong Sri Lanka dalam usaha memelihara kedaulatan, kemerdekaan, dan keutuhan wilayah negara, mengikuti jalan pembangunan yang selaras dengan keadaan negara sendiri, memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi bagi mewujudkan kemakmuran negara.
"China bersedia untuk bekerjasama dengan Sri Lanka untuk membina Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berkualiti tinggi, serta memperkasakan kerjasama dalam bidang seperti ekonomi pelabuhan, pertanian moden, ekonomi digital, ekonomi hijau, dan pelancongan, untuk mendorong pembangunan sosioekonomi Sri Lanka," kata Xi.
Xi juga mencadangkan kedua-dua negara memperkukuh kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan serta membanteras perjudian rentas sempadan, penipuan dan kegiatan jenayah lain.
Amarasuriya pula menyampaikan salam Presiden Anura Kumara Dissanayake kepada Presiden Xi dan menyifatkan ucapan beliau pada Sidang Kemuncak Wanita Global sebagai bermakna dan memperlihatkan peranan kepimpinan penting China dalam mendorong usaha wanita di seluruh dunia.
Beliau menambah, empat inisiatif global yang dikemukakan oleh Xi amat penting dalam situasi antarabangsa yang mengalami pergolakan pada masa ini.
Katanya Sri Lanka akan melaksanakan inisiatif tersebut bersama China, dan bekerjasama menjaga kepentingan Negara Selatan Global.