- Lain-lain
Runcit Segera Semakin Pesat di China
Dengan kewujudan runcit segera, penghantaran barang yang dipesan kini hanya mengambil masa sekitar 20 ke 30 minit.
Hari ini, platform e-dagang sedang mengembangkan perkhidmatan runcit segera masing-masing bagi memenuhi permintaan pengguna yang kian meningkat dan memudahkan bagi urusan membeli-belah.
Menurut laporan pembangunan runcit segera 2024 yang dikeluarkan oleh Akademi Perdagangan Antarabangsa dan Kerjasama Ekonomi China di bawah Kementerian Perdagangan, pasaran runcit segera di China dijangka untuk melangkaui RMB2 trilion (AS$280.66 bilion) menjelang 2030, sekali gus mempamerkan potensi pertumbuhan yang kuat.
Seorang penduduk di Beijing, Zheng, merupakan antara pengguna yang teruja dengan perkhidmatan itu tatkala dia berkongsi mengenai pengalamannya membeli pen pematerian yang dijumpa dalam aplikasi penghantaran makanan. Katanya, barang yang dipesannya tiba di hadapan pintu rumah kurang daripada 30 minit.
Seorang penghantar makanan sedang dalam perjalanan menghantar bungkusan di daerah Yubei, Perbandaran Chongqing di barat daya China pada 1 Oktober 2025. (Xinhua/Huang Wei)
Yang lebih mengejutkan Zheng, dia tidak pernah melihat kedai itu secara fizikal di perkarangan perumahannya, namun kedai itu tampak seperti mempunyai segala-galanya.
Kedai yang hanya boleh didapati pada platform penghantaran merupakan salah satu bahagian penting tentang bagaimana runcit segera berfungsi. Ia dikenali sebagai gudang bahagian depan. Antara kelebihan gudang jenis itu adalah ia menawarkan lebih banyak produk mengikut keperluan pelanggan yang spesifik.
Hu Qiugen, ketua runcit di Taobao Instant Commerce di bawah gergasi e-dagang China, Alibaba berkata bahawa sejumlah besar gudang menyimpan sehingga 15,000 SKU (unit simpanan stok), iaitu lebih kurang bersamaan dengan pasar raya.
Jelasnya, dengan menyimpan inventori yang dekat dengan pengguna dan memanfaatkan jaringan penghantaran segera, mereka boleh memberi respons segera terhadap permintaan pengguna.
Model pengagihan gudang bahagian depan membolehkan produk dihantar dari gudang yang berdekatan, seterusnya menjamin penghantaran segera sejurus pesanan dibuat oleh pengguna.
Perkhidmatan yang sama oleh platform e-dagang Meituan menyasarkan untuk menghantar produk di hadapan pintu rumah pengguna dalam tempoh 30 minit.
Foto penghantar memungut barangan dari kedai untuk memenuhi pesanan runcit segera. (Foto ihsan individu yang diwawancara)
“Ini (runcit segera) boleh dilakukan dengan ketumpatan gudang bahagian depan yang semakin bertumbuh,” ujar Wang Kai, felow penyelidikan runcit segera di Institut Penyelidikan Meituan.
Wang berkata, setiap gudang kebiasaannya berkhidmat buat pengguna dalam radius 3-5 kilometer. Menjelang suku kedua tahun ini, Meituan bersama-sama dengan jenama dan peruncit telah membina lebih 50,000 kilang untuk perkhidmatan runcit segera di serata negara. Angka itu dijangka mencecah 100,000 menjelang 2027.
Pemain industri berpendapat bahawa runcit segera sedang mengubah model e-dagang tradisional daripada berfokuskan produk kepada berfokuskan perkhidmatan. Ia membantu dalam menyepadukan penggunaan dalam dan luar talian, memperkasa peruncit tempatan untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing, dan mendorong jualan kedai fizikal.
Liu Tao, ketua pegawai operasi Beijing Shuntianfu Commercial and Trade yang mengoperasikan rantaian pasar raya Sun Mart di Beijing berkata bahawa kedainya secara amnya menjual hasil segar dan keperluan harian, dengan ramai pembeli mereka terdiri daripada golongan berusia pertengahan dan tua.
Untuk rekod, sejak menyertai Taobao Instant Commerce pada Mei, 11 pasar raya Sun Mart telah menyaksikan jualan harian purata masing-masing meningkat, dengan jualan dalam talian berulang-kali naik dua kali ganda.
Sebuah kedai pakaian menyertai platform runcit segera. (Foto ihsan individu yang diwawancara)
Laporan pembangunan runcit segera 2024 menunjukkan bahawa struktur produk untuk jualan runcit semakin menjadi komprehensif, menuju ke arah liputan kategori menyeluruh. Kategori produk utama adalah termasuk snek, minuman, buah-buahan dan sayur, daging, telur, dan tenusu. Manakala kategori seperti elektronik, produk bayi, kecantikan, kesihatan dan pakaian memperlihatkan pertumbuhan pesat.
- Jualan Runcit Dalam Talian China Meningkat 7.2 Peratus pada 2024
- Jualan Runcit Barang Pengguna Naik 3.2 Peratus
- Jualan Runcit di China Naik 3.7 Peratus Separuh Pertama 2024
- Jualan Runcit China Naik 2.3 Peratus pada April
- Jualan Runcit Produk Pengguna 2023 Terus Pulih, Catat RMB47.1 Trilion
- Jualan Runcit Produk Penggunaan China 2023 Cecah RMB47 Trilion