China Muncul Sebagai Pendahulu Global Dalam Pembinaan Kapal Canggih

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 21 Oktober 2025

Foto sudut udara bertarikh 6 April 2025 ini memaparkan kapal Adora Magic City yang berlabuh Terminal Pelayaran Antarabangsa Qingdao di Provinsi Shandong, timur China. (Xinhua/Li Ziheng)

Foto sudut udara bertarikh 6 April 2025 ini memaparkan kapal Adora Magic City yang berlabuh Terminal Pelayaran Antarabangsa Qingdao di Provinsi Shandong, timur China. (Xinhua/Li Ziheng)

China telah melancarkan pembawa pesawat yang dilengkapi pelancar elektromagnet binaan sendiri iaitu Fujian, selain melengkapkan dan mengoperasikan kapal pelayaran buatan domestik terbesar yang pertama iaitu Adora Magic City, serta menjadi pendahulu global dalam pembuatan pembawa gas asli cecair (LNG) besar.

Dalam tempoh Pelan Lima tahun (FYP) ke-14 (2021-2025), China menjadi satu-satunya negar yang berkeupayaan untuk membina ketiga-tiga jenis kapal kelas atasan iaitu pembawa pesawat, kapal pelayaran besar, pembawa LNG besar, yang secara kolektifnya dikenali sebagai ‘Tiga Permata pada Mahkota’ dalam pembinaan kapal.

Industri pembinaan kapal China telah mempamerkan kekuatan bertaraf dunia dan komprehensif dalam pembinaan kapal dengan nilai tambah yang tinggi, berteknologi tinggi, dan bersaiz ultra besar.

Liu Ersen, timbalan pengarah sebuah pusat penyelidikan di China State Shipbuilding Corporation (CSSC) berkata terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kejayaan tersebut iaitu pembangunan berasaskan inovasi, pembangunan berkelompok dan pembangunan industri yang diselaraskan.

Semasa tempoh FYP ke-14, limbungan kapal China telah mempercepat penaiktarafan dan transformasinya. Pemeriksaan digital, robot mengecat, dan teknologi pintar lain semakin memperkasakan pembinaan kapal. Kapal kelas atasan seperti pembawa LNG besar, kapal kontena ultra besar dan pembawa kereta ini masing-masing mencapai 9.3 peratus, 18 peratus dan 6 peratus daripada pasaran.

Pada Julai lalu, Al Mas'habiyyah, iaitu kapal pembawa LNG dengan kapasiti 174,000 meter padu, telah dihantar bagi kegunaan projek pengangkutan LNG Qatar Energy. Ia adalah pembawa LNG keenam yang dibekalkan kepada projek itu oleh Syarikat Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group), iaitu anak syarikat CSSC, sekali gus menjadikan jumlah penghantaran pembawa LNG syarikat itu secara keseluruhannya kepada 51.

“Dari 2021 hingga 2025, bahagian pasaran global kami meningkat daripada 8 peratus kepada kira-kira 20 peratus,” kata Song Wei, ketua jurutera di Syarikat Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group).

Daya penggerak utama kemajuan ini ialah peningkatan kadar penyetempatan peralatan utama.

“Pembawa LNG yang pertama bergantung pada lebih 20 pembekal China, dan hari ini lebih 130 syarikat domestik menyokong keseluruhan rantaian industri,” kata Weng Hongbing, pengurus besar syarikat itu.

Tambah beliau, di pangkalan pengeluaran syarikat di Pulau Changxing, Shanghai, pengeluaran tahunan kontena bertebat telah mencapai 400,000 unit, dengan kadar penyetempatan komponen meningkat daripada 62 peratus pada akhir 2020 kepada 75 peratus hari ini.

Tatkala industri perkapalan global mempercepatkan peralihannya ke arah kemampanan, Syarikat Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) memperluaskan kepakarannya dalam teknologi penyimpanan dan pengangkutan kriogenik ke kawasan baharu.

“Kapal hijau kini menyumbang 80 peratus daripada jumlah tempahan yang kami terima,” kata Song.

Sementara itu, kapal persiaran besar kedua yang dibina di dalam China iaitu Adora Flora City, telah mula menyediakan kelengkapan di Syarikat Shanghai Waigaoqiao Shipbuilding, sebuah lagi anak syarikat CSSC. Berbanding dengan pendahulunya iaitu Adora Magic City, garis masa pembinaan Adora Flora City adalah dua bulan lebih singkat.

Menurut Chen Gang, pengurus besar di Syarikat Shanghai Waigaoqiao Shipbuilding, teras cabaran dalam pembinaan kapal layar bersaiz besar adalah ketika menguruskan sebuah projek berskala sangat besar.

“Pada waktu puncak, hampir 4,000 pekerja beroperasi secara serentak di serata 20 dek,” kata Chen.

Dalam pada itu, Liu berkata bahawa pembinaan tiga jenis kapal adalah cerminan kepada kemajuan baharu China dalam penyepaduan sistem, bahan-bahan canggih, pembuatan ketepatan, reka bentuk digital dan teknologi pengeluaran. Ia secara tidak langsung memajukan kapasiti negara untuk inovasi kendiri dalam peralatan berkelas tinggi dan mendorong kepada daya saing keseluruhan rantai industri.

Video

Berita Berkaitan