Wanita Muda Hidupkan Semula Tenunan Sendiri Chongming Tradisional di Shanghai

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 05 November 2025
Wanita Muda Hidupkan Semula Tenunan Sendiri Chongming Tradisional di Shanghai
Zhou Yuxin (kiri) dan ibunya sedang memeriksa Chongming yang ditenun sendiri. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Di daerah Chongming, Shanghai, satu fabrik purba yang dikenali sebagai tubu atau Chongming yang ditenun sendiri telah menjadi sejenis kraf dengan sejarah selama lebih 600 tahun. Tatkala perindustrian semakin bergerak pantas, fabrik itu secara beransur-ansur pudar daripada pandangan umum; namun, bagi kebanyakan penduduk tempatan, ia masih terjalin erat dalam ingatan mereka.

Dilahirkan pada tahun 1998, Zhou Yuxin memperoleh ijazah dalam pengurusan hospitaliti dari Michigan State University. Hari ini, beliau telah mendedikasikan dirinya untuk memelihara dan menghidupkan semula kraf warisan budaya tidak ketara ini.

Perubahan kerjaya Zhou bukan sahaja mencerminkan pilihan peribadi, tetapi juga trend yang lebih luas dalam kalangan golongan muda yang menemui semula nilai budaya tradisional.

Untuk mencipta satu bolt Chongming yang ditenun sendiri, ia memerlukan berpuluh-puluh langkah yang rumit. Ibu kepada Zhou Yuxin iaitu Zhou Qin, mengepalai studio warisan budaya tidak ketara yang dikhaskan untuk kraf ini.

Sejak tahun 1996, beliau komited mengumpul dan mendokumentasikan Chongming yang ditenun sendiri. Selama hampir tiga dekad, koleksinya telah berkembang daripada hanya 16 bolt kepada lebih daripada 10,000, dengan berat keseluruhan mencapai 30 tan.

Dedikasi itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada Zhou Yuxin. Sekembalinya beliau ke Shanghai pada 2020 selepas pengajian di luar negara, beliau menyertai perusahaan asing. Namun, ketika pandemik global melanda, kilang eksport ibunya menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya dan akhirnya terpaksa ditutup.

Beliau turut mengimbas kembali ketika ibunya bertanya bahawa adakah beliau mahu mengambil alih ruang kilang yang akan ditukar menjadi dewan pameran, beliau dengan pantas bersetuju dengan ibunya.

Tidak lama kemudian, beliau mula mempelajari teknik pencelupan dan tenunan daripada guru-guru di Akademi Seni dan Reka Bentuk Universiti Tsinghua, serta daripada Shi Lanjuan, pewaris kraf tenunan tubu Chongming.

Pelancong asing melawat studio warisan kebudayaan tidak ketara yang didedikasikan khas untuk Chongmin yang ditenun sendiri. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Pelancong asing melawat studio warisan kebudayaan tidak ketara yang didedikasikan khas untuk Chongmin yang ditenun sendiri. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Di bawah bimbingan Shi, Zhou berjaya menguasai proses tenunan tangan tradisional yang lengkap. Namun, beliau enggan terikat dengan kebiasaan, sebaliknya berusaha untuk menggabungkan teknik warisan dengan inovasi moden.

Di samping itu, Zhou telah membangunkan sistem pengajaran berperingkat, menawarkan kursus intensif yang merangkumi proses penuh daripada penanaman kapas hingga tenunan, dan kelas pengalaman di mana peserta boleh mencipta dengan bebas menggunakan alat tenun moden.

“Kebolehcapaian yang lebih besar menarik lebih ramai golongan muda untuk terlibat dan menghargai kraf ini,” jelasnya.

Pendekatan fleksibel ini telah meluaskan khalayak untuk Chongming yang ditenun sendiri, seterusnya membolehkan lebih ramai orang menemui dan memahami fabrik dengan cara yang sesuai dengan minat masing-masing.

Zhou juga bereksperimen dengan menggabungkan bahan baharu, seperti gentian buluh dan gentian kertas dengan benang kapas tradisional, sekali gus meningkatkan fungsi fabrik dan menarik minat pengguna moden.

Beliau juga percaya bahawa untuk kraf tradisional berjaya pada hari ini, produk mesti mencapai keseimbangan antara kemampuan praktikal dan nilai estetika.

Kini, bekas kilang itu telah diubah suai menjadi ruang budaya yang menggabungkan pameran, aktiviti amali dan peruncitan. Mengambil asas tersebut, Zhou juga telah menceburi perniagaan rumah tumpangan dan hotel.

Mereka yang menginap di rumah tumpangannya menerima lawatan berpandu percuma ke dewan pameran tenunan sendiri, yang lengkap dengan penceritaan mendalam dan konteks sejarah.

Pengalaman tersebut turut merangkumi sehingga ke bilik mereka, di mana fabrik tenunan tangan muncul sebagai sentuhan hiasan dan berfungsi pada cadar, penutup kotak tisu dan butiran lain.

Dewan pameran mengemas kini pameran dan produk budaya kreatifnya setiap suku tahun, memastikan pengunjung berulang sentiasa menemui sesuatu yang baharu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ibu dan anak perempuan itu telah berusaha untuk menyusun arkib digital corak tenunan sendiri Chongming.

Awal tahun ini, salah satu corak ini telah dipilih oleh jenama pakaian kanak-kanak terkemuka. Berikutan reka bentuk semula moden, pakaian jenama itu menerima sambutan pasaran yang kukuh, menyaksikan mereka memperoleh yuran pelesenan yang besar.

Video