Xi Berunding dengan Presiden Perancis Macron

(CRI)Jumaat 05 Disember 2025
Xi Berunding dengan Presiden Perancis Macron

Presiden China, Xi Jinping mengadakan rundingan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Khamis pagi.

Macron kini sedang dalam rangka lawatan negara ke China.

Dalam sesi perbincangan tersebut Xi menyatakan bahawa China komited untuk bekerjasama dengan Perancis dalam menjaga kepentingan rakyat kedua-dua negara dan kepentingan masyarakat dunia untuk jangka masa panjang.

Beliau juga menyeru pelaksanaan dialog setara dan kerjasama terbuka demi menyumbang kepada multipolarisasi yang teratur dan globalisasi ekonomi yang inklusif.

Xi turut menyatakan bahawa cadangan mengenai penyusunan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15 yang diluluskan dalam sidang pleno keempat Jawatankuasa Pusat ke-20 Parti Komunis China (PKC) baru-baru ini memberi hala tuju pembangunan China dan membuka peluang kepada dunia.

"China dan Perancis perlu mengambil peluang ini untuk memperluas ruang kerjasama, mempergiat kerjasama dalam bidang tradisional seperti penerbangan, aeroangkasa, dan tenaga nuklear, di samping meneroka potensi kerjasama dalam bidang ekonomi mesra alam, ekonomi digital, biofarmaseutikal, kecerdasan buatan (AI), dan tenaga baharu," ujar Xi.

Sementara itu Macron pula menyatakan bahawa Perancis mengutamakan hubungan dengan China, berpegang teguh kepada dasar satu China, dan bersedia untuk terus memperdalam hubungan perkongsian strategik komprehensif Perancis-China.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan Presiden Xi untuk membaharui dan menambah baik tadbir urus global serta memacu ekonomi dunia yang lebih seimbang.

Katanya Perancis bersedia memperkukuh koordinasi dengan China, berkongsi tanggungjawab sebagai negara besar, berpegang teguh pada multilateralisme, dan merapatkan kerjasama dalam bidang seperti menangani perubahan iklim, melindungi biodiversiti, serta tadbir urus AI bagi menyumbang kepada kedamaian dan kemakmuran dunia.

Video