- Lain-lain
Beijing Bakal Buka Seksyen Baharu Tembok Besar
Seksyen Tembok Besar Jiangjunguan, sebuah genting strategik dalam sejarah yang letaknya di daerah Pinggu, Beijing, akan dibuka kepada orang awam.
Menurut Biro Warisan Budaya Bandar Beijing, pembukaan seksyen tersebut dijadualkan seawal hujung 2026 selepas selesainya kerja-kerja membaik pulih, memperteguh, dan mengelokkan persekitaran.

Pintu Tembok Besar Jiangjunguan. (Foto ihsan Jabatan Propaganda Jawatankuasa Daerah Pinggu)
Kebanyakannya dibina pada Dinasti Ming (1368-1644), Tembok Besar di Beijing menjangkau lebih 500 kilometer merentasi beberapa daerah. Pinggu yang kaya dengan pelbagai sumber memiliki lebih 200 tapak yang keluasannya lebih 50 kilometer.
Genting Jiangjunguan ialah pintu keluar masuk utama yang pertama di hujung timur Tembok Besar Ming di Beijing. Dahulunya sebuah laluan penting, ia menjadi rebutan kuasa-kuasa ketenteraan berikutan lokasinya yang mustahak dari segi strategi.

Pakar meninjau Tembok Besar Jiangjunguan. (Foto ihsan Jabatan Propaganda Jawatankuasa Daerah Pinggu)
Shi Qiang, timbalan ketua biro pengurusan warisan budaya daerah tersebut, memaklumkan bahawa persiapan untuk pembukaan seksyen yang sebelum ini ditutup kepada umum merangkumi kerja-kerja membuang rumpai dan membina laluan batu kelikir sambil mengekalkan ciri-ciri asal struktur berkenaan.
Menggalakkan pembukaan seksyen-seksyen Tembok Besar dan menetapkannya sebagai tempat lawatan adalah penting bagi memastikan kesinambungan warisan budaya, ujar Bi Jianyu, pegawai Biro Warisan Budaya Bandar Beijing.
Tambah beliau, pada tahun-tahun kebelakangan ini, beberapa banyak seksyen Tembok Besar di Beijing yang dibuka kepada umum telah mengintegrasikan budaya dan pelancongan dengan memanfaatkan nilai sejarah dan budaya menerusi aktiviti seperti lawatan waktu malam dan lawatan sambil belajar. Ini sekali gus mentransformasikan sumber-sumber yang ada menjadi penjana pembangunan.

Seksyen Tembok Besar Jiangjunguan. (Foto ihsan Jabatan Propaganda Jawatankuasa Daerah Pinggu)




