China Serah Instrumen Ratifikasi Perjanjian mengenai Biodiversiti Marin kepada PBB

(CRI)Rabu 24 Disember 2025

China menyerahkan instrumen ratifikasi Perjanjian di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Pemuliharaan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan Luar Bidang Kuasa Negara (Perjanjian BBNJ) kepada ketua PBB pada 15 Disember.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu dokumen disiarkan di laman web rasmi PBB pada Selasa.

Perjanjian BBNJ yang dijadual berkuat kuasa mulai 17 Januari 2026, telah ditandatangani oleh 144 negara serta Kesatuan Eropah (EU) setakat ini.

China menyertai seluruh proses rundingan perjanjian BBNJ dan merupakan antara yang paling awal menandatangani perjanjian itu.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyambut baik perkembangan berkenaan, dengan menyifatkannya sebagai pencapaian bersejarah dalam pemuliharaan marin dan multilateralisme.

Perjanjian BBNJ merupakan perjanjian antarabangsa penting di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) yang bertujuan untuk memelihara dan menggunakan kepelbagaian biologi marin secara lestari.

Perjanjian itu menumpukan kepada sumber genetik laut dalam, zon perlindungan marin, penilaian kesan alam sekitar dan pembinaan keupayaan, sekali gus menetapkan norma undang-undang untuk aktiviti semua negara di laut dalam dan laut lepas.

Video

Berita Berkaitan