Xi Terima Kunjungan Perdana Menteri Ireland di Beijing

(CRI)Isnin 05 Januari 2026

Presiden China, Xi Jinping menerima kunjungan Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Isnin.

Dalam pertemuan tersebut, Xi menyuarakan harapan agar China dan Ireland dapat mengekalkan pertukaran dalam pelbagai bidang dan peringkat, selain meningkatkan komunikasi dan persefahaman secara berterusan.

Xi juga berharap kedua-dua negara dapat menghormati kepentingan teras dan keprihatinan masing-masing, mengukuhkan kepercayaan dan asas politik hubungan dua hala.

Dalam pada itu, Xi juga menyuarakan komitmen China untuk mempertingkat kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan Ireland, menyelaras strategi pembangunan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perubatan dan kesihatan, menggalakkan pelaburan dua hala, serta berkongsi peluang dan membangun bersama.

Kedua-dua pihak juga diharap dapat meningkatkan kerjasama dalam pendidikan, budaya, dan pelancongan untuk memupuk kesalingfahaman antara rakyat.

China juga mengalu-alukan kedatangan lebih ramai belia Ireland untuk belajar dan melawat negara ini.

Xi menambah, banyak perubahan dan kekecohan yang berlaku di dunia pada masa ini, justeru amat penting untuk setiap negara menghormati jalan pembangunan yang dipilih oleh rakyat di negara lain, mematuhi undang-undang antarabangsa serta tujuan dan prinsip Piagam PBB.

Menurut beliau, China dan Ireland perlu meningkatkan penyelarasan dan koordinasi dalam urusan antarabangsa, memelihara bersama kewibawaan PBB, dan mendorong sistem tadbir urus global supaya berkembang ke arah lebih adil dan rasional.

Xi juga berharap Ireland dapat memainkan peranan konstruktif dalam perkembangan hubungan China-Eropah yang sihat dan stabil apabila menyandang jawatan negara pengerusi bergilir Kesatuan Eropah bermula suku ketiga tahun ini.

Video

Berita Berkaitan