Pendinginan Server Sublaut: Pusat Data Selatan China Rintis Jalan

Di bawah perairan tropika Teluk Qingshui di provinsi Hainan, selatan China, terletaknya pusat data bawah air komersial pertama dunia – satu kelompok modul berbentuk kapsul yang beroperasi dengan stabil di kedalaman 35 meter selama hampir tiga tahun. Inovasi ini mengatasi cabaran kritikal yang dihadapi dalam usaha peluasan digital Hainan, iaitu sumber tanah yang terhad, kekurangan air tawar, dan keperluan pendinginan yang intensif tenaga ekoran cuaca yang lembap.

“Pembangunan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan, terutamanya dalam aspek pendigitalan dan khidmat data rentas sempadan, memerlukan bilangan server yang banyak,” ujar Pu Ding, pengurus besar pusat data bawah air tersebut. “Namun sebagai sebuah pulau tropika, Hainan berdepan kekangan seperti sumber air tawar dan tanah yang terhad, begitu juga cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun, menjadikan pembinaan pusat data tradisional sesuatu yang mencabar.”

“Penyelidikan kami menunjukkan bahawa Lingshui merupakan lokasi stesen pendaratan kabel bawah laut antarabangsa milik syarikat telekomunikasi utama. Pusat data bawah air tersebut boleh memanfaatkan sambungan sedia ada ini, dan akan lebih bersedia untuk mengendalikan lebih banyak perkhidmatan data rentas sempadan pada masa depan,” jelas Pu.

Sebuah modul pusat data bawah air ditempatkan di perairan laut kaunti autonomi Li Lingshui di provinsi Hainan, selatan China. (Foto oleh penerima wawancara)

Sebuah modul pusat data bawah air ditempatkan di perairan laut kaunti autonomi Li Lingshui di provinsi Hainan, selatan China. (Foto oleh penerima wawancara)

Bagaimana server berfungsi di bawah air?

Menurut analogi Pu, menenggelamkan server sama seperti menyegarkan diri dengan berenang pada hari yang panas. Server perlu sentiasa didinginkan, dan di darat, ini menggunakan begitu banyak elektrik dan air tawar. Bagaimanapun, di bawah air, aliran semula jadi air laut menjadi pendingin yang efisien.

Berapa signifikankah penjimatannya?

Li Jiawen, timbalan pengurus besar Shenzhen HiCloud Data Center Technology Co., Ltd., memetik contoh daripada fasa pertama projek berkenaan.

“Pada keupayaan maksimum, berbanding pusat data tradisional di darat yang sama saiznya, ia dapat menjimatkan 26,000 tan air dan 3.4 juta kilowatt-jam elektrik setahun, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 2,720 tan, bersamaan menanam hampir 150,000 pokok.”

Foto menunjukkan model sebuah modul pusat data bawah air di kaunti autonomi Li Lingshui di provinsi Hainan, selatan China. (Foto/Sun Shuang)

Foto menunjukkan model sebuah modul pusat data bawah air di kaunti autonomi Li Lingshui di provinsi Hainan, selatan China. (Foto/Sun Shuang)

Pengalisan air dan pengedapan amat penting, kerana server amat sensitif kepada kelembapan. “Ketika mengedapkan modul data, setiap bolt mesti diketatkan mengikut urutan dan arah yang tepat. Kami melaksanakan prosedur operasi yang ketat untuk memastikan hal ini,” kata Pu.

Dengan adanya sistem kawalan jarak jauh pintar, operasi harian dapat dikendalikan dari darat. Ini banyak mengurangkan keperluan melakukan pemeriksaan di lokasi dan juga kos operasi.

Disebabkan interaksi manusia yang minimal, spesies marin hidup biak dengan elok di sekitar modul berkenaan. Sistem pemantauan menunjukkan kawanan ikan berkumpul dan berenang berhampiran. Ujian pula menunjukkan selepas berlakunya pemindahan haba ke air laut, suhu dalam radius dua meter naik tidak sampai 1 darjah Celsius – kurang daripada kesan sejam pancaran matahari tengah hari. Air yang sedikit suam dan arus yang berkurang sebenarnya menjadikan modul tersebut tempat untuk hidupan marin berlindung.

“Ketika AI dan infrastruktur berkaitan berkembang pesat, penggunaan tenaga untuk kuasa pengkomputeran turut menjadi isu yang semakin dipentingkan. Pembangunan hijau kini menjadi keutamaan bagi pusat data,” kata Li.

Pusat data bawah air Lingshui beroperasi secara lancar dengan kecekapan penggunaan tenaga lebih 30 peratus lebih tinggi pada keseluruhannya berbanding kemudahan konvensional pada skala sama.

Video

Berita Berkaitan