- Lain-lain
Saintis Cadang Kelaskan Tengah China Tapak Biodiversiti Global

Foto bertarikh 27 Oktober 2019 ini menunjukkan pemandangan musim gugur di Taman Negara Shennongjia di provinsi Hubei, tengah China. (Xinhua/Du Huaju)
Sepasukan penyelidik telah mencadangkan supaya satu kawasan luas di bahagian tengah China dikelaskan sebagai tapak biodiversiti global baharu. Klasifikasi ini akan menonjolkan kehidupan tumbuh-tumbuhannya yang luar biasa serta peri pentingnya usaha konservasi.
Kajian berkenaan, diketuai oleh penyelidik dari Institut Botani Akademi Sains China (IBCAS) dengan kolaborasi saintis dari Australia dan Britain, diterbitkan dalam jurnal Nature Ecology & Evolution pada Selasa.
Tapak biodiversiti global lazimnya ditentukan mengikut dua kriteria ketat, iaitu mesti mengandungi sekurang-kurangnya 1,500 spesies tumbuhan vaskular yang tidak wujud di mana-mana tempat lain, dan lokasi tersebut telah kehilangan sekurang-kurangnya 70 peratus tumbuhan semula jadi yang asli. Pada masa ini, terdapat 36 rantau di dunia yang memenuhi syarat-syarat ini.
Penyelidik terlibat telah mengenal pasti bahagian tengah China sebagai rantau yang luar biasa pentingnya. Meliputi keluasan kira-kira 1.54 juta kilometer persegi, kawasan ini merupakan habitat kepada 15,000 spesies tumbuhan vaskular dan juga menyokong kehidupan pelbagai jenis serangga dan haiwan vertebrat. Meskipun hanya memiliki anggaran 7 peratus tumbuhan asal, ia dilitupi 2,024 spesies endemik – jauh lebih tinggi daripada syarat status tapak biodiversiti.
Menurut penjelasan penyelidik, hutan berdaun lebar malar hijau subtropika di tengah China merupakan campuran unik tumbuhan purba, yang dahulunya pernah tumbuh meluas tetapi sekarang cuma dapat hidup di beberapa tempat. Kumpulan spesies baharu juga telah berevolusi dengan pantas dalam masa geologi terbaru. Kombinasi ini menjadikan rantau tersebut tidak dapat diganti jika dilihat dari sudut sejarah evolusi.
Berdasarkan penemuan ini, pasukan penyelidik dengan rasminya mencadangkan supaya bahagian tengah China diklasifikasikan sebagai tapak biodiversiti global ke-37. Jika diiktiraf, ia akan menjadi lokasi kelima di China yang mendapat status tersebut, selepas kawasan lain seperti banjaran gunung di barat daya China dan Himalaya.
“Kami berharap klasifikasi ini akan membantu memperkasakan usaha konservasi, membimbing perancangan kawasan perlindungan akan datang, dan menarik lebih banyak sokongan antarabangsa untuk melindungi warisan semula jadi kawasan itu yang unik dan terancam,” kata Profesor Lu Limin dari IBCAS.
- Populasi Kuda Przewalski Bertambah Hasil Usaha Perlindungan
- Menuju Ke Arah Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi, Bank Biji Benih Shanghai Capai 100 Juta Sampel
- Bunga Parasit Sapria Himalayana Ditemui Semula di Gunung Jingmai
- Merak Hijau Dalam Kurungan Biak Secara Semula Jadi
- Pembinaan Ditangguh untuk Lindung Burung Botak Putih
- Inisiatif Tangani Plastik Marin Rangsang Pendapatan Penduduk Zhejiang
- Cara Kreatif China Lawan Pencemaran Plastik Laut Dapat Anugerah PBB
- China Pergiat Usaha Pembangunan Taman Negara
- Projek Taman Negara Galak Biodiversiti Gurun di Xinjiang




