China, Rusia Eratkan Kerjasama dalam Bidang Legislatif

(CRI)Isnin 01 Jun 2026

Mekanisme pertukaran antara badan perundangan China dan Rusia yang semakin sempurna, memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan kerjasama dua hala dalam bidang legislatif dan membantu rakyat kedua-dua negara saling mengenali hati dan budi. Badan legislatif kedua-dua pihak perlu terus mencetuskan momentum untuk mengekalkan pertukaran di pelbagai peringkat dan pelbagai bidang, meningkatkan persefahaman dan rasa saling percaya, serta menimba pengalaman antara satu sama lain, bagi menyumbang kepada pembangunan Perkongsian Kerjasama Strategik Komprehensif China-Rusia untuk Era Baharu.

Demikian dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, Zhao Leji dalam pertemuan secara berasingan dengan Pengerusi Majlis Persekutuan Rusia, Matviyenko, dan Pengerusi Duma Negara, Volodin di sini pada Sabtu.

"Pertukaran kedua-dua pihak juga perlu tertumpu pada bidang keselamatan negara, perlindungan ekologi alam sekitar, kecerdasan buatan (AI), dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan urusan luar," kata Zhao.

Selain itu, Zhao juga telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Parlimen China-Rusia ke-11 pada 28 Mei lalu, dan menekankan keperluan untuk menyegerakan kelulusan dokumen undang-undang yang kondusif untuk kerjasama dua hala dan menggesa pelaksanaan yang terbabit.

"Perlu mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil dan stabil, melindungi hak dan kepentingan sektor korporat, dan menyediakan jaminan undang-undang untuk kerjasama dua hala dalam bidang yang substantif.

"Kedua-dua pihak perlu memanfaatkan sepenuhnya mekanisme dan platform yang sedia ada, menonjolkan peranan badan perundangan di peringkat daerah dan menyediakan anjakan dan tujahan dalam mengembangkan kerjasama daerah. Kedua-dua pihak juga perlu mengadakan koordinasi erat dalam mekanisme pelbagai hala seperti Inter-Parliamentary Union (IPU) untuk mendorong keadilan dan kesaksamaan di arena antarabangsa," ujar Zhao.

Untuk rekod, Zhao telah mengadakan lawatan rasmi ke Rusia pada 27 hingga 30 Mei lalu atas undangan Pengerusi Majlis Persekutuan Rusia, Matviyenko, dan Pengerusi Duma Negara, Volodin.

Video

Berita Berkaitan