- Lain-lain
Eropah Perlu Cuba “Menari Bersama Serigala”
Apa yang difikirkan oleh Kaja Kallas, Wakil Kanan Kesatuan Eropah (EU) bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, ketika beliau menyatakan bahawa perdagangan dengan China bagaikan ‘kanser’ buat Eropah?
Kenyataan dangkal itu dibuat oleh Kallas semasa menjadi tetamu sesi dialog bersama kolumnis Financial Times, Edward Luce pada Persidangan Lennart Meri yang berlangsung di Estonia, kira-kira dua minggu yang lalu.
Klip video sesi dialog berkenaan sudah tular di media sosial sehingga menarik tumpuan umum.
Perihal yang berlaku itu tidak ubah seperti peribahasa “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Justeru, bagi mengelak sebarang salah faham dan implikasi yang tidak diingini pada masa hadapan, jurucakap EU, Paula Pinho segera menjelaskan perkara itu kepada media bahawa kenyataan yang dibuat oleh Kallas itu tidak mewakili pendirian rasmi EU.
Ironinya, Kallas yang juga Naib Presiden Suruhanjaya Eropah mengeluarkan kenyataan tersebut hanya kira-kira sebulan selepas beliau mengajak Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan perbualan telefon pada April lalu.
Dalam perbualan berkenaan, Wang telah menegaskan bahawa pembangunan China merupakan peluang buat Eropah. Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa cabaran yang dihadapi oleh blok itu bukan berpunca dari China, dan amalan perlindungan perdagangan pula tidak membantu meningkatkan daya saing Eropah.
Oleh itu, Wang berharap Eropah dapat memahami China secara menyeluruh dan memilih memperjuangkan matlamat bersama termasuk memelihara perkembangan hubungan bilateral.
Dalam perbualan sama, Kallas berkata EU melihat China sebagai rakan kerjasama strategik yang penting serta tidak pernah berhasrat untuk mereka-reka halangan yang boleh memberi impak kepada hubungan kedua-dua pihak. Malah, beliau juga berharap China dan EU dapat mengekalkan komunikasi dan meraikan pendapat yang berbeza menerusi dialog yang membina.
“Tiada hujan, tiada ribut”, bagaimana China yang disifatkan sebagai rakan kerjasama penting bagi EU, terus berubah menjadi ‘kanser’ dalam masa begitu singkat?
Namun, jika diperhalusi kenyataan Kallas sebelum ini, pandangan ekstrem sedemikian bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana bekas Perdana Menteri Estonia itu sebelum ini pernah menafikan identiti China dan Rusia sebagai negara pemenang dalam Perang Dunia Kedua (WWII).
Menurut Kallas, jika EU masih tidak mampu menewaskan Rusia, bagaimana pula blok itu mampu berdepan risiko yang lebih besar daripada China?
Bahkan, diplomat tertinggi EU itu turut mencadangkan agar blok Eropah menubuhkan “NATO Ekonomi”, kononnya bagi menangani sebarang ancaman dari China.
Mengilhamkan dari kejayaannya menyandang jawatan utama dalam EU dengan menggunakan isu Rusia sebagai modal politik, Kallas nampaknya mahu menggunakan taktik sama dengan melabelkan China yang merupakan ekonomi kedua terbesar dan rakan dagang terbesar bagi Eropah, sebagai musuh.
Tanggapan itu dibuat Kallas, hanya kerana beliau berpendapat bahawa China telah menyatakan sokongan kepada Rusia dalam konflik yang melibatkan Ukraine. Jelas sekali, sikap berat sebelah yang dipamerkan Kallas membuatkan politikus Estonia itu tidak wajar berada di tampuk kuasa EU bagi urusan dasar luar dan keselamatan.
Hakikatnya, pendirian yang dinyatakan Kallas pada sesi dialog Persidangan Lennart Meri bercanggah dengan dasar EU.
Pada Jumaat lalu, EU telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan langkah untuk melindungi industri penting dan strategik daripada tekanan persaingan global, terutamanya dari China. Bagaimanapun, dasar EU terhadap China kekal tertumpu pada kawalan dan pengurangan risiko, dan bukannya pengurangan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Pada masa yang sama, 27 negara anggota EU berharap agar mengekalkan hubungan perdagangan dengan China, sambil berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap negara “Tembok Besar” ini.
Justeru, perkara berkenaan dijangka akan dibawa pada Sidang Kemuncak G7 yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 15 Jun ini di Perancis serta Sidang Kemuncak EU di Brussels pada 18 hingga 19 Jun nanti.
Sentimen berhati-hati EU terhadap China sebenarnya boleh difahami memandangkan negara ini juga pernah merasai sentimen yang serupa pada awal abad ini. Sejurus menganggotai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada tahun 2001, China membuka pasaran domestik dengan meluas untuk menarik pelaburan dari konglomerat dunia termasuk yang dari Eropah.
Rakyat China memberi gambaran dalam senario global pada ketika itu dengan menyifatkannya sebagai “kedatangan sekawan serigala”, yang sebenarnya berperanan memaksa sektor korporat China “menari bersama serigala”.
Tidak dinafikan, banyak syarikat tempatan termasuk perusahaan berkaitan kerajaan terpaksa berdepan impak besar akibat perkembangan tersebut. Namun, syarikat-syarikat yang mampu bertahan dalam ekosistem persaingan berkenaan pada akhirnya menjadi asas ekonomi China yang lebih kukuh pada masa kini.
Sudah tiba masanya untuk EU pula berdepan dengan “sekawanan serigala” yang dilihat sebagai satu metafora melambangkan persaingan kuat dan sudah pasti syarikat-syarikat Eropah juga perlu bersiap sedia untuk “menari bersama serigala” khususnya “serigala” dari China.
Ketika menghadiri Forum Pembangunan China 2026 di Beijing pada Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz, Ola Källenius menyatakan bahawa “seseorang pemain bola sepak yang cemerlang perlu beraksi di Champions League, maka ‘Champions League’ bagi industri automotif dunia pada masa ini berada di China”.
Seperti apa yang dinyatakan oleh Menteri Luar China, Wang Yi bahawa amalan perlindungan perdagangan tidak membantu meningkatkan daya saing Eropah, sebaliknya syarikat yang mampu “menari bersama serigala” barulah boleh menjadi tunjang ekonomi Eropah pada masa akan datang.
- Perlindungan Perdagangan Bukan Pendekatan Betul Bawa Pemain Industri Eropah Keluar dari Kemelut
- EU Diseru Pertahankan Perdagangan Bebas, Tolak Proteksionisme dan Unilateralisme
- Ketua Pegawai Perdagangan China, EU Adakan Rundingan Secara Maya
- Wang Yi Bertemu Presiden Suruhanjaya EU di Brussels
- China, EU Bersedia Kukuh Hubungan Bilateral
- China, EU Komited Pelihara Dagangan Bebas dan Terbuka
- China, EU Setuju Sambungkan Rundingan tentang Kes Anti-subsidi BEV
- Naib Presiden China Ditemui CEO Royal Philips
- EU Digesa Henti Politikkan Isu Dagangan
- Dialog Ekonomi Peringkat Tinggi China-EU Dijadual Isnin Depan




