Xi Jinping, Kim Jong Un Komited Perkukuh Hubungan China-DPRK

(CRI)Selasa 09 Jun 2026

Presiden China, Xi Jinping dan isterinya, Peng Liyuan menghadiri jamuan rasmi yang dihoskan Setiausaha Agung Parti Pekerja Korea (WPK) yang juga Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara, Kim Jong Un di Dewan Moranbong, Pyongyang pada Isnin malam.

Kedua-dua pemimpin turut menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Menurut Xi, tahun ini merupakan ulang tahun ke-65 "Perjanjian Persahabatan, Kerjasama dan Bantuan Bersama China-Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK)" sekaligus meletakkan hubungan dua hala di titik permulaan sejarah yang baharu.

Menurut beliau lawatan kali ini telah menghasilkan beberapa persefahaman penting bersama pemimpin DPRK itu, mengenai pembangunan hubungan masa depan antara kedua-dua negara.

Xi berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh pertukaran peringkat tinggi, memperdalam komunikasi strategik, memperluas kerjasama dalam bidang yang substantif serta meningkatkan hubungan antara rakyat.

Beliau menambah bahawa rakyat kedua-dua negara akan terus menggalakkan pembangunan hubungan China-DPRK pada tahap yang lebih tinggi dan bersama-sama memajukan pembangunan sosialisme di negara masing-masing.

Sementara itu, Kim Jong Un berkata pertemuannya dengan Xi selepas kali terakhir bertemu pada sembilan bulan lalu, telah menghasilkan persetujuan penting bagi memajukan hubungan DPRK-China, dan bertukar-tukar pandangan secara meluas mengenai isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama.

"Ini pasti akan mendorong persahabatan DPRK-China yang sudah mempunyai tradisi sejarah yang mendalam untuk berkembang maju dengan lebih pantas, di samping memberi sumbangan bagi keamanan dan kestabilan serantau dan dunia" ujar Kim lagi.

Video

Berita Berkaitan