- Lain-lain
Perdana Menteri Norway Terima Kunjungan Wang Yi
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store mengadakan pertemuan dengan ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Menteri Luar China Wang Yi di Oslo pada Isnin.
Dalam pertemuan tersebut, Wang Yi terlebih dahulu menyampaikan salam dari pemimpin China kepada Store.
Wang berkata, lawatan Store ke China pada tahun 2024 telah menyuntik kedinamikan baharu dalam hubungan dua hala.
Ujarnya rasa saling percaya dan persahabatan antara pemimpin kedua-dua negara juga menjadi jaminan politik yang penting bagi hubungan kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, Wang berkata China bersedia berganding bahu dengan Norway untuk meningkatkan penyelarasan pelbagai hala, mempertahankan multilateralisme sebenar, mengamalkan empat inisiatif global, serta menggalakkan pembinaan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama.
Sementara itu Store berkata, pihaknya mengagumi pencapaian pembangunan China pada tahun-tahun kebelakangan ini, terutamanya kejayaan China dalam membasmi kemiskinan, sehingga mendapat pujian masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata, Norway amat menghormati kedudukan China sebagai negara besar, dan berharap dapat meneruskan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China, serta memperluas kerjasama kedua-dua negara dalam ekonomi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan lain-lain.
Selain itu, Norway juga bersedia meningkatkan komunikasi dan penyelarasan dengan China dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau, menyokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan terasnya dan memelihara multilataralisme global, ujar Store.




