“Kampung T” Guizhou: Dari Gunung ke Dunia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 14 Oktober 2026

Di sebuah taman budaya etnik di Kaili, kawasan autonomi Miao dan Dong Qiandongnan, satu pertunjukan fesyen yang istimewa diadakan setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Mereka yang naik ke landasan bukanlah model profesional, sebaliknya penduduk kampung dari kaunti sekitar seperti Rongjiang, Congjiang dan Liping. Antara mereka termasuk penyulam serta para ibu yang menghabiskan masa sehari-hari jahit-menjahit, menjaga gerai di pasar dan menguruskan keluarga masing-masing. Berbusana perayaan bersulamkan corak berwarna-warni dipadankan dengan hiasan perak, penduduk kampung tampil di bawah lampu sorot, menonjolkan budaya etnik yang menjadi kebanggaan mereka.

Qiandongnan di Guizhou pernah menjadi medan utama dalam perjuangan provinsi barat daya China itu menghapuskan kemiskinan. Pada masa silam, kawasan gunung menyekat pengangkutan dan menghalang kemahiran tangan yang diwarisi generasi demi generasi daripada tersebar ke luar kampung. Sulaman, batik dan ketukangan perak Miao umpama buku sejarah tak bertulis yang dipakai pada badan, meriwayatkan hidup generasi lalu sambil menyimpan aspirasi penduduk terhadap kehidupan yang lebih baik.

Pada Julai 2024, seorang pemuda Miao bernama Gu Axin menganjurkan pertunjukan fesyen di kampung halamannya dengan harapan dapat memberi penduduk peluang untuk menyerlahkan pakaian perayaan masing-masing. Tidak disangka, begitu ramai teruja mengambil bahagian, hinggakan tidak sempat selesai acara dalam sehari dua sahaja. Maka lahirlah “Kampung T”, yang beransur-ansur menjadi legasi kawasan tersebut. Ia kemudiannya tersebar luas menjangkaui kampung bahkan sampai ke pentas antarabangsa termasuk Minggu Fesyen China, Minggu Fesyen London, Persidangan Perubahan Iklim PBB, dan Minggu Fesyen New Zealand.

Di luar landasan fesyen pula, Pasar Warisan Budaya Tak Ketara Xiulitao berjaya mengetengahkan kraf yang dahulunya tidak dipedulikan ini di pasaran yang lebih luas. Lebih daripada 1,000 gerai telah dibuka di sini, menjadi saluran untuk hasil sulaman dan kraf tangan masuk ke pasaran lebih besar. “Kampung T” memfokuskan pameran dan promosi budaya, sementara Pasar Xiulitao menyediakan platform untuk keusahawanan dan jualan. Bersama-sama, dua wadah ini menjadi jejambat yang menyambungkan kraf tradisional dan kehidupan moden.

Setakat 2026, “Kampung T” Guizhou telah mengadakan lebih 1,000 persembahan, menarik lebih 80,000 peserta dari ratusan kampung sekitar, mempertontonkan puluhan ribu busana etnik dan karya warisan budaya tak ketara. Dengan cakupannya yang meliputi lebih 200 kampung di sekeliling, penganjurannya telah menarik kedatangan lebih 900,000 pelancong. “Kampung T” juga telah mengumpulkan inap desa, restoran, produk budaya dan kreatif serta produk istimewa tempatan di kampung-kampung ini, mencipta tidak kurang daripada 3,000 peluang kerja. Melalui model “Kampung T + Pasar Xiulitao”, pendapatan purata penduduk tempatan telah meningkat lebih 12,000 yuan seorang, naik lebih 40 peratus berbanding dahulu.

Kini, di Qiandongnan, jarum dan benang yang telah lama di hujung jari, menyulam corak burung dan kupu-kupu dalam satu jalinan yang menggambarkan cara hidup baharu. Seperti yang ditekankan oleh Presiden Xi Jinping pada lawatan terakhir beliau ke Guizhou, kawasan yang populasi etnik minoritinya besar hendaklah mengekalkan budaya tersendiri masing-masing dan menyerlahkannya melalui pembangunan bersepadu budaya dan pelancongan.

Dari gunung ke pentas dunia, kisah “Kampung T” ialah satu mikrokosma haluan ala China dalam perjuangan menghapuskan kemiskinan. Apabila budaya yang diwariskan oleh generasi sebelum menjadi suatu industri baharu, dan apabila penduduk biasa dapat menjadi penggerak pembangunan, kampung di tengah-tengah gunung sekalipun dapat terserlah di mata dunia.

Video

Berita Berkaitan