Syarikat China Untung Besar di Piala Dunia (2)

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 01 Disember 2022
Syarikat China Untung Besar di Piala Dunia
(LU PING/CHINA DAILY)

Syarikat pamer rangkaian produk di kejohanan Qatar

Walaupun gagal melayakkan diri ke kejohanan bola sepak peringkat akhir Piala Dunia FIFA yang kini berlangsung di Qatar, China tetap memberikan sumbangan penting kepada acara sukan global terbesar itu.

Produk, tajaan dan projek infrastruktur China telah mendapat pujian daripada para peminat dan juga bakal pelanggan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Luo Yang, pengurus jualan di unit perniagaan luar negara Higer Bus Co, pengeluar bas dan trak yang berpangkalan di Suzhou, provinsi Jiangsu memfokuskan projek pembekalan 1,815 buah basnya, yang telah dihantar syarikat itu ke Qatar tahun lepas.

Kenderaan-kenderaan ini mengendalikan perkhidmatan ulang-alik untuk beribu-ribu peminat, pegawai dan wartawan dari pelbagai negara semasa kejohanan yang diadakan dari 20 November hingga 18 Disember itu.

"Selepas Piala Dunia, bas-bas tersebut akan digunakan untuk membawa kanak-kanak pergi dan balik sekolah," kata Luo sambil menambah bahawa sistem pemantauan kanak-kanak yang dipasang di dalam kenderaan membunyikan amaran apabila bas tiba di destinasinya. Pemandu sendiri akan memastikan kanak-kanak keluar dengan selamat, sebelum menekan butang untuk mematikan amaran.

Saingan Higer, Zhengzhou Yutong Group Co, pembuat kenderaan komersial dari provinsi Henan juga mengeksport lebih 1,500 buah bas ke Qatar untuk Piala Dunia, termasuk 888 bas berkuasa elektrik. Ini adalah kali pertama bas tenaga baharu dari China telah digunakan pada acara sukan utama global.

Pelbagai barangan China boleh didapati pada kejohanan itu, termasuklah gelang kunci, tanduk, bendera, pakaian dan kasut dari Yiwu di provinsi Zhejiang dan Jinjiang di provinsi Fujian, serta bunga api dari Liuyang, provinsi Hunan.

Penganalisis pasaran berkata banyaknya produk sedemikian adalah disebabkan oleh ledakan peningkatan industri China, rantaian bekalan yang maju dan transformasi hijau.

China International Marine Containers (Group) yang berpangkalan di Shenzhen, provinsi Guangdong diperrtanggungjawabkan untuk membina Stadium 974 di Qatar, yang dipasang daripada 974 kontena dan boleh dileraikan dengan mudah.

Pendingin hawa untuk 100 pusat pemeriksaan keselamatan di tempat kejohanan disediakan oleh Kumpulan Midea China, sementara kemudahan komunikasi di stadium serta peranti yang berkaitan untuk pusat arahan dan kawalan bersama dibuat di China.

Zhao Xinli, dekan institut pengiklanan Universiti Komunikasi China di Beijing, berkata jika elemen yang disediakan oleh China untuk acara Qatar dipertandingkan dalam "Piala Dunia pembuatan global", maka "Pasukan China" pasti akan menjadi pemenang yang popular.

Xiao Shuhong, seorang profesor ekonomi sukan di Universiti Sukan Beijing pula berkata sumbangan China kepada Piala Dunia mencerminkan bahawa pasaran negara ini semakin signifikan bagi ekonomi global. Diadakan setiap empat tahun, kejohanan itu akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi sukan global dengan mewujudkan peluang perniagaan untuk syarikat berorientasikan eksport di China dan tempat-tempat lain di dunia, tambah Xiao.

Menurut Pentadbiran Am Kastam China, dijana struktur perdagangan pelengkap mereka serta penganjuran Piala Dunia, jumlah nilai perdagangan antara China dan Qatar meningkat sebanyak 64.7 peratus tahun ke tahun kepada $21.66 bilion antara Januari dan Oktober.

Di Stadium Lusail, utara Doha, ibu negara Qatar, Unilumin Group, pengeluar skrin definisi tinggi yang beribu pejabat di Shenzhen, memasang dua skrin diod pemancar cahaya atau LED berukuran 70 meter persegi yang menunjukkan skor semasa perlawanan. Stadium seluas 190 meter persegi itu, yang mempunyai kapasiti 80,000, akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir kejohanan pada 18 Disember.

Yang Jun, presiden pasaran Qatar di pusat jualan antarabangsa Unilumin Group berkata memandangkan negara Teluk itu mempunyai suhu tinggi dan cahaya matahari yang kuat, paparan LED yang digunakan untuk Piala Dunia menyebarkan haba dengan lebih baik. Tahap kecerahannya juga lebih tinggi daripada skrin lain, tambah Yang.

"Piala Dunia Qatar adalah mikrokosma jenama China ke arah globalisasi," katanya sambil menambah bahawa syarikat itu bersedia untuk menerima lebih banyak tempahan untuk kejohanan bola sepak Piala Asia yang akan diadakan di Qatar tahun depan.

Pandangan serupa dinyatakan oleh Zhang Feng, naib presiden Avant Sports Industrial Co, satu lagi pengeluar peralatan dan kemudahan sukan yang berpangkalan di Shenzhen, yang membekalkan berpuluh-puluh ribu tempat duduk boleh alih dan boleh sentut untuk lapan tempat acara Piala Dunia di Qatar.

Zhang berkata dengan menyasarkan untuk memainkan peranan dinamik dalam keluaran pintar, sektor pembuatan China bergantung pada teknologi hijau dan digital untuk terus bersaing dengan pesaing global.

"Memandangkan Qatar masih agak panas pada tempoh ini untuk tahun ini, kami menggunakan jenis bahan penyejuk baharu untuk tempat duduk. Bahan ini boleh mengurangkan suhu permukaan tempat duduk sebanyak 9 hingga 17 darjah. Tempat duduk ini dijangka mempunyai jangka hayat lebih daripada satu dekad lama," tambah Zhang.

Penaja dialu-alukan

Walaupun tanpa kehadiran pasukan China pada kejohanan itu, penaja China tetap bersemangat untuk Piala Dunia Qatar, dan telah disambut mesra oleh negara tuan rumah.

Menurut GlobalData, sebuah syarikat analisis dan perunding data yang berpangkalan di London, 20 syarikat China telah menyediakan lebih banyak tajaan untuk Piala Dunia 2022 berbanding pesaing dari negara lain. Syarikat-syarikat ini menduduki tempat teratas di seluruh dunia dengan perbelanjaan hampir $1.4 bilion, melebihi perbelanjaan $1.1 bilion daripada syarikat AS.

Syarikat-syarikat China itu diterajui oleh empat penaja rasmi FIFA — pemaju hartanah komersial Wanda Group, pengeluar peralatan rumah Hisense Group, pengeluar telefon pintar Vivo, dan jenama tenusu Mengniu.

 Wanda Group ialah salah satu daripada tujuh rakan kongsi korporat FIFA, bersama dengan Coca-Cola, Adidas, Hyundai-Kia, Qatar Airways, Qatar Energy dan VISA. GlobalData berkata Wanda Group menandatangani perjanjian 15 tahun bernilai $850 juta dengan FIFA, yang akan tamat pada Piala Dunia 2030.

Li Pengcheng, naib presiden Mengniu berkata, Piala Dunia Qatar akan menyaksikan lampiasnya permintaan yang tersekat akibat pandemik COVID-19, sambil menambah bahawa acara yang berpengaruh itu akan membantu membuka potensi penggunaan global.

Selain melancarkan aiskrim bertemakan Piala Dunia dalam warna pasukan sempena kejohanan itu, Li berkata Mengniu akan memperkenalkan lebih banyak produk untuk mengembangkan kehadiran di negara Teluk pada tahun-tahun akan datang.

Ni Xudong, naib presiden kanan dan ketua pegawai pemasaran di Vivo berkata, "Bola sepak mempunyai kuasa untuk menyatukan orang ramai. Kami percaya bahawa inovasi boleh membantu peminat membina komuniti dan berkongsi pengalaman Piala Dunia yang menarik dengan semua orang di seluruh dunia, sama ada mereka sedang menonton perlawanan di stadium atau menikmati keseronokan dari jauh."

Menurut Vivo, dengan kehadiran mereka di acara sukan popular di seluruh dunia, jenama China memasuki pasaran antarabangsa dengan cara yang lebih halus dan mengesankan secara emosi dengan pengguna global.

Li Jiang, pengarah eksekutif di Yutang Sports (Beijing) Co, sebuah syarikat kepintaran dan pemasaran sukan berpandangan, "Tajaan daripada sejumlah besar syarikat China bukan sahaja menunjukkan kuasa ekonomi negara ini, tetapi juga jelas menunjukkan transformasi pesat industri pembuatannya. Kejohanan ini menawarkan syarikat-syarikat berkenaan satu pentas lebih besar untuk mempamerkan produk mereka."

Song Xiangqing, naib presiden Persatuan Ekonomi Perdagangan China, yang beribu pejabat di Beijing pula menganggap bahawa walaupun kos untuk menjadi penaja agak tinggi, mempunyai kaitan dengan Piala Dunia adalah cara paling jelas bagi syarikat China untuk mempromosikan jenama dan menjual produk mereka di pasaran global.

Projek infrastruktur

Stadium Lusail, yang dijadualkan menjadi tuan rumah 10 perlawanan semasa Piala Dunia, dibina bersama oleh syarikat pembinaan Qatar dan China Railway Construction Corp. Ini adalah kali pertama sebuah syarikat China membina tapak acara Piala Dunia, dan stadium itu turut dipamerkan pada wang kertas Qatar.

Sementara itu, loji fotovolta Al-Qasar berkapasiti 800 megawatt yang direka dan dibina oleh Power Construction Corp of China, atau PowerChina, mula beroperasi pada pertengahan bulan lalu, membantu Qatar dalam komitmen untuk menganjurkan Piala Dunia secara mesra alam.

Li Jun, pengurus tapak PowerChina untuk projek ini berkata, "Peralatan China telah digunakan untuk semua bahagian fotovolta, menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah pelaburan projek sekali gus meningkatkan lagi bahagian pasaran syarikat China di Timur Tengah."

Lin Jiang, seorang profesor ekonomi di Universiti Sun Yat-sen di Guangzhou, ibu kota provinsi Guangdong menyatakan produk, perkhidmatan dan projek infrastruktur yang dibawa oleh syarikat China ke Piala Dunia menunjukkan kelebihan perindustrian negara dalam banyak bidang, termasuk pengeluaran kenderaan elektrik dan peralatan fotovolta.

Pengaruh yang semakin meningkat

Selain syarikat besar, pengeluar di Yiwu, hab komoditi kecil China di Zhejiang juga mempamerkan pengaruh mereka yang semakin meningkat semasa Piala Dunia.

Daripada bola sepak dan perhiasan trofi kepada tanduk dan wisel, Persatuan Barangan Sukan Yiwu menganggarkan bahawa Yiwu menyumbang kira-kira 70 peratus daripada pasaran barangan persisian untuk kejohanan tahun ini.

Wu Xiaoming, pengerusi lembaga Yiwu Aokai Sports Goods Co, pengeluar bola sepak rasmi untuk Piala Dunia 2022 berkata, syarikat yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 800 biji bola sehari telah menghantar 300,000 biji daripadanya ke Qatar dan lokasi lain di dunia pada akhir bulan lalu.

Ramai pelanggan dari Timur Tengah, Eropah dan Amerika Latin membuat pesanan tambahan untuk memenuhi permintaan domestik yang melonjak, tambah Wu.

"Tidak seperti tempahan yang dibuat pada bulan Mei yang dihantar oleh kapal kontena, tempahan baharu akan dihantar melalui perkhidmatan pengangkutan udara, sama juga seperti 2,000 biji bola sepak yang kami hantar ke Argentina minggu lalu," kata Wu.

Menurut Kastam Yiwu, didorong oleh permintaan yang meningkat sebelum Piala Dunia, syarikat di Yiwu mengeksport sejumlah 4.85 bilion yuan barangan sukan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, merekodkan peningkatan tahun ke tahun hampir 39 peratus.

Zhang Yongjun, seorang penyelidik di Pusat Pertukaran Ekonomi Antarabangsa China di Beijing berkata, di tengah-tengah kelembapan dalam rantaian perindustrian akibat pandemik, geopolitik dan tekanan geo-ekonomi, China telah mempercepat peningkatan industri pembuatannya dan memberikan sumbangan positif kepada industri global, kestabilan rantaian dan rantaian bekalan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan