Ekonomi China Dijangka Pulih Menyeluruh 2023

(CRI)Selasa 03 Januari 2023

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China dijangka mencecah 120 trilion yuan (kira-kira RM76 trilion) pada 2022.

Naib ketua Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), Zhao Chenxin berkata prestasi itu dicapai berasaskan agregat ekonomi domestik yang melepasi 100 trilion yuan selama dua tahun berturut-turut.

"Berdepan persekitaran dalam dan luar negeri yang kompleks sepanjang tahun lalu, China berjaya mengatasi satu demi satu kesulitan hingga meraih pencapaian tersebut," katanya.

Menurut Zhao, operasi ekonomi dijangka pulih secara menyeluruh pada 2023, menyaksikan kualiti bertambah baik dan kuantiti meningkat dengan munasabah.

Tahun ini, kerja ekonomi China memfokuskan kepada usaha memulihkan dan memperluas perbelanjaan, serta meningkatkan pendapatan penduduk bandar dan luar bandar menerusi lebih banyak saluran.

Usaha akan dipergiatkan untuk menyokong perbelanjaan membabitkan penambahbaikan perumahan, kenderaan tenaga alternatif dan perkhidmatan penjagaan warga emas, selain menggalakkan pemulihan sektor utama dan perbelanjaan komoditi pukal secara berterusan.

Pada masa sama, China akan terus menggalakkan penglibatan perusahaan swasta dalam strategi negara utama, meningkatkan bantuan terhadap syarikat berkenaan dan memperhebat perlindungan hak harta mereka, sekali gus memacu perkembangan ekonomi swasta. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan