Pelabuhan Lekki Buka Lembaran Baharu Ekonomi Nigeria

(CRI)Sabtu 28 Januari 2023

Majlis perasmian projek pelabuhan air dalam Lekki, Nigeria yang dilabur, dibina dan dikendali oleh Syarikat Kejuruteraan Pelabuhan China (CHEC) diadakan di Lagos, barat daya Nigeria, pada Isnin.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari menyifatkan pengoperasian pelabuhan Lekki sebagai dorongan kepada negaranya untuk membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi dan pengeksportan hasil pertanian unggul setempat, selain menambah pendapatan negara dalam mata wang asing.

Beliau berkata, projek tersebut juga akan menawarkan banyak peluang kerja, di samping membantu kerajaan Nigeria merealisasikan matlamat pembanterasan kemiskinan.

Sementara itu, Duta Besar China ke Nigeria, Cui Jianchun berkata, pelabuhan Lekki berpotensi untuk menjadi salah satu pelabuhan paling moden dan cekap di rantau selatan Sahara, serta enjin baharu yang mendorong pembangunan ekonomi Nigeria itu adalah contoh kepada tekad transformasi syarikat China daripada kontraktor kepada pelabur dan pengendali.

Gabenor Lagos, Babajide Sanwo-Olu yang turut hadir pada majlis perasmian berkata, sebagai pelabuhan terbesar di Nigeria, Lekki mampu memuatkan kapal pengangkut kontena paling besar di dunia.

Beliau berkata, Lekki turut dipercayai dapat menggalakkan perdagangan luar negara, menyuntik kedinamikan baharu bagi pembangunan ekonomi, menyediakan peluang kerja dalam jumlah besar, serta menambah baik kesejahteraan hidup rakyat tempatan.

Dimaklumkan, sebagai pelabuhan air dalam pertama di Nigeria serta salah satu pelabuhan terbesar di rantau Afrika Barat, projek Lekki mula dibina pada Jun 2020, dan siap pada Oktober 2022, dengan muatannya 1.2 juta TEU setahun.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan