Perdana Menteri China, Malaysia Berunding di Beijing, Saksikan Penandatanganan Dokumen Kerjasama Baharu

(CRI)Isnin 03 April 2023

Perdana Menteri China, Li Qiang mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi di China di Beijing pada Sabtu.

Li menyatakan bahawa China dan Malaysia telah mencapai konsensus penting tentang pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia sempena lawatan Anwar kali ini, sekali gus merangka cetak biru bagi perkembangan hubungan kedua-dua negara pada era baharu.

“Kita harus berpandukan konsensus tersebut, mendorong kerjasama kedua-dua negara berkembang ke arah bermutu lebih tinggi.

“Di samping itu, kita harus meningkatkan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, dan menyumbang kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau bahkan dunia,” kata Li.

Menurut beliau, China dan Malaysia sebagai negara membangun dan pasaran baru muncul, perlu memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk memperkasakan kerjasama dua hala pada fasa seterusnya, meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan masing-masing dan meningkatkan tahap keterbukaan demi mendorong pembangunan bersama.

“China mengalu-alukan Malaysia terlibat lebih mendalam dalam rantaian perindustrian, bekalan, data dan modal insan di negara ini, mempergiat kerjasama dalam sektor baharu, dan mendorong penaiktarafan kerjasama kedua-dua pihak ke arah inovatif, cerdas, digital dan hijau.

“China bersedia meningkatkan pengimportan produk berkualiti tinggi dan istimewa dari Malaysia, mengintensifkan kerjasama pertanian, merapatkan persahabatan dan rasa saling percaya, serta mempergiat kerjasama dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pelancong," kata Li.

Beliau menegaskan bahawa China bersedia berganding bahu dengan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia untuk mempercepat rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan, bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan di rantau ini.

Anwar dalam pertemuan itu menyatakan bahawa China ialah sahabat akrab bagi Malaysia, dan pelbagai kalangan masyarakat di Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan persahabatan dengan China.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya dengan tegas mempertahankan dasar satu China, menyokong Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) anjuran China.

Pada masa sama, menurut Anwar, Malaysia bersedia merancakkan kerjasama dengan China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dan mengintensifkan kerjasama kedua-dua negara dalam sektor automobil, tenaga, kebudayaan dan pelancongan, pertanian, dan ekonomi digital, serta meningkatkan pertukaran lawatan rakyat.

Selepas rundingan itu, kedua-dua perdana menteri telah menyaksikan penandatanganan siri dokumen kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi, perdagangan, pertanian, kastam dan lain-lain.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan