Lukisan Jadi Punca Rezeki Sampingan Petani Daolang

(CRI)Khamis 15 Jun 2023

OLEH: AHMAD SYUKRI AZMI

Pertanian adalah tidak asing bagi penduduk Qumqisar iaitu kawasan yang terletak di kaunti Makit, wilayah Kashgar. Secara tradisinya, dengan kelebihan sistem perairan yang sangat baik, petani tempatan yang beretnik Daolang menghasilkan produk seperti kapas, jagung, gandum dan bit gula.

Seiring dengan pembangunan di sekitar Kashgar, penduduk di Qumqisar turut mendapat manfaat limpahan dan gigih untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Pada zaman dahulu, ramai petani Daolang akan memanfaatkan masa lapang mereka untuk menghasilkan lukisan dengan menggunakan cat minyak dan ia kekal menjadi hobi dalam kalangan petani dari satu generasi ke satu generasi.

Meskipun mereka tidak mempunyai latihan profesional sebagaimana yang diterima oleh pelukis moden, lukisan Daolang yang terkenal pada sekitar 1970-an telah disenaraikan sebagai warisan budaya tidak ketara peringkat kebangsaan di China.

Minawar Mutalifu, 45, merupakan seorang waris kepada seni kreatif tersebut yang telah menceburkan dirinya sejak berada di bangku sekolah.

(Penulis bersama-sama dengan Minawar Mutalifu)

(Penulis bersama-sama dengan Minawar Mutalifu)

“Minat saya timbul ketika saya masih kecil, dan pada masa itu saya melihat ramai pak cik (yang terdiri daripada petani) menggunakan masa terluang masing-masing untuk melukis.

“Kini, saya sudah menghasilkan banyak lukisan yang berkisarkan kehidupan sendiri, keluarga, kehidupan kampung, dan pekerjaan,” kongsinya.

Menurut Minawar, beliau sering memberitahu kepada para pelapis lukisan Daolang bahawa mereka perlu mempunyai minat mendalam serta sanggup meluangkan masa yang begitu lama untuk menghasilkan satu-satu karya.

Beliau berkata, pihak kerajaan turut memainkan peranan penting untuk memastikan lukisan tidak hilang ditelan zaman.

“Daolang adalah lukisan rakyat, dan dengan adanya bantuan kerajaan, pelukis yang berpengalaman boleh menurunkan ilmu kepada petani-petani muda,” kata Minawar Mutalifu yang memberikan kursus sekurang-kurangnya empat kali setahun termasuk cara-cara memilih bahan dan warna.

Difahamkan, bagi menghidupkan minat petani untuk meneruskan kreativiti melalui lukisan, kerajaan memperuntukan sebanyak RMB80 (sekitar RM50) sehari kepada mereka yang ingin belajar selain makan dan minum sebanyak tiga kali sehari.

Minawar turut berazam untuk terus mewariskan budaya tersebut dan menyifatkan usaha lama beliau sangat berbaloi kerana lukisannya pernah ‘terbang’ ke Malaysia untuk satu pameran.

“Saya bangga kerana sekurang-kurangnya ada orang luar yang dah tahu tentang Daolang.

“Saya harap budaya Daolang itu sendiri dapat berkembang pesat pada masa depan,” tambah beliau lagi.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan