Danyang: Ibu Kota Cermin Mata China, Pengeluar Separuh Output Dunia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 13 Julai 2023
Danyang: Ibu Kota Cermin Mata China, Pengeluar Separuh Output Dunia
Pekerja mengisi bahan mentah di barisan pengeluaran. (foto: Li Bo/Xinhua)

Bandar Danyang di provinsi Jiangsu China, dengan populasinya tidak sampai sejuta, merupakan pangkalan pengeluaran cermin mata terbesar di dunia. Terdapat lebih 1,600 syarikat dan lebih 50,000 pengamal terlibat dalam industri cermin mata di sini. Outputnya yang melebihi 400 juta keping kanta cermin mata setahun, menyumbang kepada 75% pengeluaran China dan 50% jumlah seluruh dunia.

Industri cermin mata Danyang bermula pada tahun 1960-an. Selepas beberapa dekad perkembangan, syarikat-syarikat cermin mata di Danyang hari ini telah mengamalkan barisan pengeluaran automatik yang hanya mengambil 40 saat untuk mengisar kanta tersuai dengan kadar ralat pada tahap nanometer. Proses selanjutnya iaitu mengeraskan dan menyalut kanta juga diselesaikan oleh mesin. Ini banyak menyumbang kepada pengeluaran yang cekap.

Danyang kini telah membentuk rangkaian industri cermin mata lengkap yang berteraskan reka bentuk, pengeluaran dan penjualan. Daripada bahan mentah, kain kanta, kotak cermin mata, hinggalah percetakan, pembungkusan dan lain-lain, rangkaian industri berkenaan semakin jelas kepelbagaiannya. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat cermin mata menyasarkan permintaan pasaran, menginovasi produk-produk anti-cahaya biru dan anti-silau, dan meningkatkan kualiti produk. Lebih daripada 100 jenis produk cermin mata yang dihasilkan di bengkel di Danyang dijual ke lebih 50 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Untuk mempromosikan jenama, kerajaan bandar Danyang mendaftar "Cermin Mata Danyang" sebagai tanda dagangan kolektif, dan seiringan mengukuhkan perlindungan hak harta intelek serta penyeliaan kualiti produk. “Cermin Mata Danyang” telah menjadi kad bandar yang paling unik.

Menurut statistik, pada tahun 2022, jualan bercukai (taxable sales) industri pembuatan cermin mata Danyang mencecah 12.23 bilion yuan (kira-kira 7.86 bilion ringgit), meningkat 8.66% tahun ke tahun. Jualan eksport Danyang mencapai 4.5 bilion yuan (kira-kira 2.89 bilion ringgit), meningkat 18.61%.

Pada 2014, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Danyang pertama kali melebihi 100 bilion yuan. Pada 2021, Danyang menduduki tempat kesepuluh dalam ranking ekonomi peringkat daerah yang mempunyai KDNK tertinggi di provinsi Jiangsu. Danyang, ibu kota cermin mata, telah memacu peningkatan pesat KDNK seluruh bandar dengan memanfaatkan industri cermin mata.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan