China, Algeria Ikrar Mantapkan Perkongsian Strategik Komprehensif

(CRI)Rabu 19 Julai 2023

China bersedia bersinergi dengan Algeria untuk memperkasa komunikasi strategik, di samping memperdalam pertukaran dan kerjasama ke arah memantapkan perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

Demikian ujar Presiden China Xi Jinping dalam rundingan dengan rakan sejawatnya dari Algeria, Abdelmadjid Tebboune di Beijing pada Selasa.

Beliau menyarankan kedua-dua negara melaksanakan dengan baik dokumen kerjasama penting termasuk yang berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping memperkukuh kerjasama dalam bidang sedia ada seperti infrastruktur, petrokimia, perlombongan dan pertanian, dan meneroka kerjasama dalam bidang berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, tenaga nuklear, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan tenaga boleh diperbaharui.

Kata beliau, China akan terus menghulurkan bantuan sedapat mungkin kepada Algeria untuk menyokong pembangunan sosioekonomi negara itu.

China juga bersedia mengimport lebih banyak produk unggul dari Algeria dan menggalakkan syarikat domestik meneroka kerjasama di Algeria.

Beliau turut meluahkan hasrat ingin memperkasa kerjasama perubatan dan kesihatan dengan Algeria, menawarkan biasiswa kerajaan kepada Algeria, di samping menggalakkan kerjasama melibatkan media, pelancongan, belia, kesukanan dan kumpulan pemikir.

Sementara itu, Tebboune berkata Algeria teguh menyokong pendirian China dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan teras termasuk isu Taiwan dan Xinjiang.

Beliau menzahirkan sokongan terhadap Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang dikemukakan China, serta kesediaan untuk terlibat aktif dalam BRI dan memperdalam perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

Tebboune merakamkan ucapan terima kasih atas peranan penting dimainkan China bagi membina dunia yang lebih terbuka dan terangkum dan mewujudkan order antarabangsa yang lebih adil dan munasabah.

Beliau juga memberikan penghargaan kepada peranan konstruktif China untuk mendorong penyelesaian isu Palestin dengan adil dan menggalakkan kedamaian dan ketenteraman dunia.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan