Bekalan Elektrik Dipulihkan di Banyak Kawasan Banjir di Utara China

(CRI)Selasa 08 Ogos 2023

Perbadanan Grid Negara China (SGCC) mengerahkan kakitangan, peralatan dan bahan keperluan untuk membaikpulih kemudahan dengan segera dan telah menyambung semula bekalan elektrik di banyak kawasan yang dilanda bencana banjir di utara China termasuk Beijing, Hebei, Heilongjiang dan Jilin.

SGCC dilaporkan telah menghantar 4,620 orang kakitangan teknikal, 109 kenderaan penjanaan kuasa, lebih daripada 430 generator bersaiz kecil dan 22 kumpulan bahan keperluan dari tempat lain ke kawasan Fangshan dan Mentougou, bandar Beijing yang terjejas teruk akibat bencana itu untuk melakukan kerja pembaikpulihan kemudahan bekalan elektrik secara kecemasan.

Untuk rekod, setakat pukul 8.00 malam Isnin, bekalan elektrik telah dipulihkan melalui jaringan utiliti di 124 buah kampung, dan dipulihkan melalui mesin penjanaan kuasa kecemasan di 90 kampung, menjadikan sebanyak 79 peratus kampung yang dilanda bencana di kawasan Fangshan, Mentougou dan Changping yang keseluruhannya sebanyak 270 buah, keluar dari dunia gelap.

Di bandar Zhuozhou, provinsi Hebei pula, kerja membaikpulih dengan pelbagai tindakan juga dijalankan dengan segera oleh jabatan bekalan kuasa tempatan.

Setakat pukul 8.00 malam Isnin, bekalan elektrik di kawasan bandar utama telah disambung secara beransur-ansur, manakala bekalan elektrik di tempat-tempat perkhidmatan awam seperti stesen minyak dan pusat beli belah yang berskala besar telah pulih pada asasnya dengam kadar penggunaan elektrik harian mencapai lebih daripada 90 peratus berbanding yang tercatat sebelum bencana.

Pada masa yang sama, SGCC cawangan Heilongjiang dan Jilin juga segera menghantar pasukan teknikal untuk membaikpulih kemudahan bekalan elektrik bagi kelangsungan bekalan kepada pengguna tempatan.

Setakat pukul 6 petang Isnin, bekalan elektrik telah disambung semula kepada 110,600 isi rumah di kawasan yang dilanda bencana di provinsi Heilongjiang dan 122,200 isi rumah di kawasan yang dilanda bencana di provinsi Jilin.

Video

Berita Berkaitan