Anthony Loke: Potensi Kerjasama China-Malaysia Cukup Besar

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 26 Oktober 2023

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan, dan juga ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia. Menurut Anthony Loke, Menteri Pengangkutan Malaysia yang menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) ke-3 di Beijing baru-baru ini, China dan Malaysia mempunyai banyak lagi ruang kerjasama.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara projek mercu tanda kerjasama China dan Malaysia di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Loke memberitahu People’s Daily Online bahawa projek itu sudah mencapai kemajuan lebih 50 peratus dan akan selesai pada tahun 2027.

Kata beliau, kedua-dua pihak telah menimba banyak pengalaman tentang sejauh mana meningkatkan kerjasama. “Meski banyak rundingan telah dibuat dan berdepan juga beberapa cabaran di peringkat pelaksanaan, tapi telah ditangani pada ketika ini. Ini menunjukkan sikap terbuka kedua-dua pihak untuk menangani masalah dengan berbincang, berunding serta mencari titik persamaan.”

Projek ECRL diyakini bakal menjadi pemangkin kepada pengindustrian. Kata Loke, “Kami mahu melihat lagi banyak kerjasama dengan China, sama ada untuk perdagangan, pelaburan, atau untuk membawa lebih banyak kilang ke taman perindustrian sepanjang laluan itu.”

Mengenai kerjasama China-Malaysia dalam sektor pengangkutan, Loke yakin terdapat banyak lagi potensi boleh diterokai. “Terutamanya di Sabah dan Sarawak, kerana potensi di Sabah, Sarawak masih belum dimaximum lagi. Faktor yang terbaru sekarang ini adalah penempatan ibu kota baru Indonesia di Kalimantan.”

Tahun depan China dan Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik. Menurut Loke, pencapaian setakat ini memang baik namun banyak lagi ruang kerjasama yang boleh ditingkatkan.

“BRI merupakan satu contoh di mana kita bekerjasama untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara dan meningkatkan keterhubungan di antara kedua-dua negara dari segi pengangkutan.”

“Tetapi selain daripada projek infrastruktur, saya rasa banyak lagi sektor yang kita boleh bekerjasama bukan sahaja daripada segi ekonomi, perdagangan, hubungan antara rakyat Malaysia dengan rakyat negara China, pendidikan, sukan dan budaya. Semua boleh kita pertingkatkan lagi kerjasama.”

“Malaysia dan China mempunyai sejarah persahabatan yang cukup lama. Mesti kita hargai sejarah bersama. Yang paling penting perasaan ataupun semangat hormat-menghormati kedua-dua negara ini mesti dikekalkan.”

Beliau turut menilai masa depan hubungan China-Malaysia cukup berpotensi.

Video

Berita Berkaitan