Loji Kuasa Angin Pertama Bangladesh Siap Sepenuhnya

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 10 November 2023
Loji Kuasa Angin Pertama Bangladesh Siap Sepenuhnya
Foto udara ini yang diambil pada 30 Oktober 2023 menunjukkan tapak projek kuasa angin Cox's Bazar di Bangladesh.

Terletak sekitar 400 kilometer dari ibu kota Bangladesh, Khurushkul yang dahulunya sebuah perkampungan kecil di daerah Cox's Bazar kini mempunyai loji kuasa angin pertama Bangladesh, yang dibina oleh syarikat milik China.

Dengan beroperasinya loji kuasa angin berpusat yang dilengkapi 22 turbin angin dengan kapasiti tunggal terpasang sehingga tiga megawatt (MW) itu, ia sekali gus memudahkan peralihan tenaga dan pembangunan hijau di negara Asia Selatan tersebut.

Difahamkan, pada Oktober lalu, Bangladesh menyertai negara-negara yang mempunyai kuasa angin global dengan perasmian projek kuasa angin Cox's Bazar.

Menurut maklumat, projek kuasa angin itu dibiayai oleh Wuling Power Corp., iaitu anak syarikat State Power Investment Corp. (SPIC) China, dan dibina oleh PowerChina Chengdu Engineering Corp.

Setelah beroperasi sepenuhnya, projek itu akan menjana sekitar 145 juta kilowatt sejam elektrik bersih setahun, secara tidak langsung mengurangkan penggunaan batu arang sebanyak 44,600 tan dan pelepasan karbon dioksida sebanyak 109,200 tan, serta memenuhi permintaan elektrik 100,000 isi rumah.

Jurutera tempatan yang juga lulusan universiti China iaitu Abdullah Arif, merupakan salah seorang pekerja bahagian syif operasi di kilang itu.

"Selepas tamat pengajian, saya menyertai projek ini. Dari sini kami dapat belajar dan berkhidmat kepada negara dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, dan juga boleh meningkatkan permintaan terhadap elektrik," kata beliau.

Ketika diwawancara oleh Xinhua, Abdullah berkata loji itu kini menyalurkan 30 MW elektrik ke dalam grid kebangsaan dan akan beroperasi pada kapasiti penuh menjelang akhir tahun.

Jelasnya, daripada 22 turbin projek tersebut, 10 mempunyai kapasiti 30 MW.

“Kami jangka pada hujung tahun ini kami boleh memasang baki 12 turbin projek ini, menghasilkan 60 MW secara keseluruhan, dan memindahkannya ke grid kebangsaan,” tambah Abdullah.

Beliau turut menzahirkan harapan untuk melihat Bangladesh membangunkan kapasiti penjanaan yang besar dalam tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan dengan menyifatkannya sebagai salah satu keutamaan dalam membina sebuah negara maju.

“Ia akan membantu menambah baik persekitaran negara saya,” kata Abdullah sambil menjelaskan angin merupakan tenaga hijau yang boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon Bangladesh.

Pengarah Loji Kuasa Angin Cox's Bazar, Yin Bobo berkata bahawa projek itu telah mengadaptasi "Rancangan China" untuk Bangladesh, menghasilkan penyelesaian khusus untuk kawasan pantai yang kerap terdedah kepada bencana siklon tropika serta mempunyai asas geologi dataran aluvium yang lemah dan kelajuan angin purata rendah.

Menurut beliau, semasa projek itu dibina, lebih 1,500 pekerjaan disediakan untuk penduduk tempatan, sementara lapan pekerja operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa itu telah menerima latihan teknologi kuasa angin yang ketat dan sistematik.

Yin berkata Wuling akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau dan membantu Bangladesh dalam transformasi tenaga rendah karbon bagi merealisasikan impian "Bangladesh Emas" dengan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Setiausaha kanan Bahagian Kuasa di bawah Kementerian Tenaga, Tenaga dan Sumber Mineral Bangladesh, Habibur Rahman pada majlis pelancaran menyatakan bahawa projek itu adalah aliran utama dalam perjalanan Bangladesh ke arah tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan.

Kata beliau, projek itu bukan sahaja akan menyediakan tenaga elektrik bersih kepada ribuan isi rumah, tetapi juga membantu mengurangkan kebergantungan Bangladesh kepada bahan api fosil.

“Ia juga akan memberi kesan positif kepada alam sekitar dan kualiti udara negara, dan mengurangkan kesan perubahan iklim,” ujar Habibur Rahman.

Video

Berita Berkaitan