China Capai Hasil Baharu dalam Usaha Penghijauan

(CRI)Selasa 12 Mac 2024

China mencapai hasil baharu dalam usaha penghijauan sepanjang tahun lalu, menyaksikan projek penghutanan membabitkan tanah seluas 3.998 juta hektar berjaya diselesaikan.

Menurut laporan Suruhanjaya Penghijauan Negara, China juga berjaya memulihkan padang rumput usang seluas 4.379 juta hektar selain merawat tanah berpasir dan berbatu seluas 1.905 juta hektar.

Kempen penghijauan dipergiatkan secara mantap di negara Tembok Besar pada tahun lepas, dengan pelaksanaan sebanyak 96 projek utama berkaitan perlindungan dan pemulihan ekosistem serta 25 projek demonstrasi penghijauan bumi.

Kawalan hakisan tanah juga mencapai kemajuan signifikan apabila kawasan seluas 63,000 kilometer persegi diurus menerusi pendekatan pemuliharaan secara bersepadu.

Ketua Jabatan Perlindungan dan Pemulihan Ekologi Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara (NFGA), Zhang Wei berkata sejak 2012, program penghijauan melibatkan tanah seluas 112 juta hektar berjaya diselesaikan.

Keluasan hutan buatan menduduki tempat teratas di dunia dengan mencapai 87.6 juta hektar, kata beliau.

Sementara itu, ahli Akademi Kejuruteraan China (CAE), Liu Shirong berkata China menyumbang satu perempat daripada kawasan tambahan penghijauan di dunia dalam tempoh dua dekad lalu.

Menurut beliau, prestasi itu hasil daripada program penanaman pokok dan penghutanan yang dilaksanakan secara besar-besaran dalam negeri.

Tanggal 12 Mac merupakan Hari Menanam Pokok yang disambut oleh seluruh rakyat China pada setiap tahun.

Video

Berita Berkaitan