Huawei, Edotco Perkenal Menara Kaca Gentian Pertama Bangladesh

Gergasi telekomunikasi China, Huawei dan pembekal khidmat kemudahan telekomunikasi Malaysia, Edotco akan melancarkan menara gentian pertama Bangladesh sebagai penyelesaian jaringan mudah alih negara itu.

Dua syarikat tersebut dalam satu pengumuman pada Khamis lepas, memaklumkan rancangan bersama untuk memperkenalkan rekaan menara telekomunikasi yang canggih dan mesra alam, diperbuat daripada bahan fiber-reinforced plastic (FRP) atau juga dikenali umum sebagai kaca gentian.

Kaedah penyelesaian FRP yang inovatif akan mengurangkan berat menara berkenaan sehingga 44 peratus, selain meningkatkan kecekapan pembinaan sebanyak 75 peratus. Menurut kenyataan bersama dua syarikat tersebut, kedua-dua ciri ini menjadikan rekaan itu ideal untuk pembinaan atas bumbung di tempat-tempat berkepadatan tinggi di Bangladesh.

Menara-menara ini dikatakan akan dibina dengan ciri tidak memantulkan gelombang radio, sekali gus menjamin keefisienan pemancaran gelombang mikro. Sifatnya yang kukuh juga membolehkan prasarana ini menahan voltan tinggi tanpa mengalami kerosakan.

“Tambahan lagi, struktur ini mudah dipasang dan diangkut, menjadikan proses pembinaannya lebih efisien. Cirinya yang mesra alam menjamin pelepasan karbon dioksida pada paras yang rendah, dan mengurangkan keperluan untuk dicat selalu,” demikian menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai sebahagian inisiatif ini, Edotco dan Huawei telah menandatangani satu memorandum persefahaman pada Mobile World Congress di Barcelona minggu lalu.

“Kolaborasi kami membuka pintu kepada satu peluang yang luar biasa untuk menambah baik kemudahan telekomunikasi Bangladesh yang semakin maju, dan penting peranannya dalam merealisasikan visi kelestarian kami,” kata Sunil Issac, pengarah urusan Edotco Bangladesh.

Ujar Hu Yue, naib president kumpulan perniagaan jaringan pembekal Huawei Asia Selatan pula, dengan kaedah penyelesaian yang diteroka Huawei dan kepakaran yang dimiliki Edotco, kedua-dua syarikat komited menjadi teladan dalam perjalanan ke arah kelestarian melalui inovasi.

Video

Berita Berkaitan