Kampung Teladan Kongsi Kunci Kejayaan Hasil Transformasi Hijau

Sebuah kampung di Xihaigu, kawasan di barat laut China yang pernah diklasifikasikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai “tidak boleh didiami”, mendapat sanjungan masyarakat antarabangsa berikutan transformasi hijaunya.

Seorang wakil dari kampung Longwangba di bandar Guyuan, wilayah autonomi Hui Ningxia di barat laut China, baru-baru ini berkongsi kunci kejayaannya semasa Pameran Pertanian Antarabangsa ke-60 di Paris.

“Saya gembira dapat berkongsi kisah kebangkitan semula kampung kami dan juga pencapaian China dalam aspek ekologi dengan penduduk Perancis dan seluruh dunia,” kata Jiao Jianpeng, timbalan ketua Parti bagi Longwangba.

Jiao telah membawa kepakaran pertanian tempatan ke pameran tersebut, antaranya melibatkan tanaman wolfberry, millet serta jus parsli, selain produk-produk warisan budaya tak ketara seperti guntingan kertas, boneka bayang dan solekan muka.

Pameran itu menjadi tumpuan pengunjung, mengaut hasil melebihi 400,000 yuan daripada jualan dalam masa beberapa hari sahaja. Malahan, selepas pulang ke tanah air, Jiao masih lagi menerima pertanyaan dari seberang laut mengenai produk yang dijual.

Produk pertanian Xihaigu yang dipamerkan pada Pameran Pertanian Antarabangsa ke-60 di Paris. (Foto/Xinhua)

Produk pertanian kampung Longwangba yang dipamerkan pada Pameran Pertanian Antarabangsa ke-60 di Paris. (Foto/Xinhua)

Tidak lama dahulu, Xihaigu, tempat letaknya Longwangba, merupakan salah satu kawasan paling miskin di China. Di lokasi yang ketandusan air ini, sumber air per kapitanya tidak sampai 8 peratus paras purata negara. Pada 1972, pakar dari PBB mengisytiharkan kawasan ini “tidak boleh didiami”.

Perjuangan China membasmi kemiskinan turut meningkatkan taraf infrastruktur di Longwangba. Ini termasuk jalan raya, bekalan elektrik, perumahan dan akses kepada air bersih.

Memandangkan rupa bumi setempat bergunung-ganang, penduduk kampung mengusahakan kebun sayur dan bunga peony yang berteres. Mereka turut membina muzium sains dan teknologi, juga membuka hotel tradisional di dalam gua yang menerapkan ciri-ciri tempatan.

Foto udara kampung Longwangba. (Foto/Xinhua)

Foto udara kampung Longwangba. (Foto/Xinhua)

Pada 2023, Longwangba menerima lebih 410,000 pelancong, yang membawa masuk pendapatan pelancongan berjumlah 19.41 juta yuan. Menerusi mod pembangunan yang pelbagai, contohnya gabungan pelancongan dan penjagaan kesihatan, pendapatan boleh guna per kapita tahunan penduduk kampung meningkat daripada tidak sampai 2,300 yuan pada 2012 kepada 15,500 yuan pada 2023.

Daripada “tidak boleh didiami” kepada “pembangunan hijau, ekologi dan berkualiti tinggi”, Longwangba berjaya menaikkan namanya sebagai teladan unggul dalam usaha China membasmi kemiskinan dan memajukan kawasan desa. Kisah kejayaan ini telah didokumentasikan dalam “Carnets de Chine” yang bermaksud “Perjalanan yang Menakjubkan di China”, sebuah dokumentari terbitan bersama media China dan Perancis.

“Kami berhasrat untuk memaparkan kepada dunia lebih daripada sekadar kawasan desa yang indah di China, tetapi juga semangat yang tidak luntur dalam komitmen terhadap inovasi, keterbukaan dan keinklusifan,” kata Jiao.

Video

Berita Berkaitan