Trip.com, Capital A, Kini Rakan Kongsi Strategik

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 02 April 2024
Trip.com, Capital A, Kini Rakan Kongsi Strategik
Orang ramai mengunjungi ruang pameran Trip.com pada ITB China 2023 di Shanghai pada 13 September 2023. (Foto/IC)

Agensi pelancongan dalam talian China, Kumpulan Trip.com dan Capital A Berhad Malaysia baru-baru ini memeterai perjanjian perkongsian strategik, sekali gus meneroka kerjasama dalam perniagaan termasuk tiket penerbangan, hotel, tiket lokasi pemandangan indah, dan mod pembayaran.

Kerjasama yang ditandatangani pada 29 Mac lalu itu merupakan susulan daripada perkongsian kedua-dua syarikat sebelum ini, yang dicapai pada 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trip.com, Sun Jie, kerjasama baharu itu akan memanfaatkan produk berkualiti tinggi, perkhidmatan dan penyelesaian inovatif Trip, selain turut mengembangkan skop perniagaan serta kepelbagaian produk Capital A.

"Kami teruja untuk berpadu tenaga dengan Capital A bagi menawarkan pelanggan kami produk dan perkhidmatan yang lebih baik, serta sentiasa meningkatkan mutu perjalanan mereka," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, kedua-dua syarikat merancang untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber platform masing-masing bagi menyajikan pengalaman perjalanan yang istimewa kepada pelanggan dan merealisasikan operasi kecekapan tinggi serta pertumbuhan jangka panjang.

"China adalah salah satu pasaran paling penting untuk rancangan pertumbuhan AirAsia," kata beliau, sambil menambah bahawa perkongsian itu akan melangkaui promosi dan perkhidmatan penerbangan AirAsia.

Dahulunya dikenali sebagai Kumpulan AirAsia, Capital A merupakan syarikat induk kepada syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia.

Video

Berita Berkaitan