China Hidupkan Semula Luar Bandar Melalui Pelancongan, Industri Khusus

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 20 September 2024

Pelancong sedang berehat di sebuah inap desa di Kampung Xiantan Bandar Moganshan, Kaunti Deqing, Provinsi Zhejiang pada 4 Julai 2019. (Xinhua/Xu Yu)

Pelancong sedang berehat di sebuah inap desa di Kampung Xiantan Bandar Moganshan, Kaunti Deqing, Provinsi Zhejiang pada 4 Julai 2019. (Xinhua/Xu Yu)

Meskipun musim pelancongan musim panas sudah melabuhkan tirainya, namun penginapan dan sarapan (atau B&B) di Gunung Mogan di Provinsi Zhejiang, China kekal sebagai pusat aktiviti.

"Kami baru-baru ini menjadi tuan rumah sekumpulan penulis skrip yang menempah lebih daripada 40 bilik," kata Shen Jiangrong, naib pengerusi persatuan industri B&B Moganshan.

Terletak di Kaunti Deqing di provinsi itu, Gunung Mogan ialah resort musim panas yang popular dengan lebih daripada 800 B&B, dengan kebanyakannya dikendalikan oleh penduduk tempatan.

Pemandangan menakjubkan dan suasana tenang di kawasan ini menarik pelancong seluruh negara semasa musim kemuncak pelancongan, serta ahli profesional kreatif seperti pasukan penulis skrip, yang sering membuat tempahan pada luar musim percutian untuk mencari inspirasi, menulis dan mengadakan perbincangan kreatif.

"Kadar harga bilik kami antara RMB980 yuan (kira-kira RM584) hingga RMB2,280," kata Xu Langyue, penduduk kampung tempatan yang mengubahsuai rumahnya menjadi B&B pada 2019.

Di seluruh China, industri pelancongan yang semakin berkembang telah meningkatkan ekonomi luar bandar dengan ketara, selain turut menarik pelawat domestik dan antarabangsa.

Di Kampung Dazhai, yang terletak di selatan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, pelancong berpusu-pusu untuk merasai budaya etnik yang tersendiri dan landskap teres di rantau ini.

"Saya kagum dengan simbiosis antara pertanian, perlindungan ekologi dan pelancongan budaya," kata Ludger Oelck, pelancong dari Jerman.

Foto yang diambil menggunakan dron pada 10 Julai 2024 ini memperlihatkan inap desa di Kampung Dazhai, Kaunti Longsheng, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang. (Xinhua/Cao Yiming)

Foto yang diambil menggunakan dron pada 10 Julai 2024 ini memperlihatkan inap desa di Kampung Dazhai, Kaunti Longsheng, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang. (Xinhua/Cao Yiming)

Diiktiraf sebagai salah satu "Perkampungan Pelancongan Terbaik" oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB pada 2022, Dazhai menerima 708,000 pelancong pada 2023, sekali gus menjana pendapatan kolektif sebanyak RMB7.25 juta.

Selain pelancongan, industri khusus tempatan juga memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Misalnya, pada 2023, lebih daripada 10 kedai dalam talian yang dikendalikan oleh sebuah syarikat akuakultur di daerah Yujiang, Provinsi Jiangxi telah menerima lebih 5,000 pesanan setiap hari, dengan jualan tahunan mencecah RMB70 juta.

Yujiang telah menyaksikan ledakan dalam penternakan ikan hiasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hampir 50 isi rumah terlibat dalam industri tersebut. Sektor itu dijangka melebihi 100 juta yuan dalam nilai tahun ini.

Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar turut memaklumkan bahawa kemajuan ketara telah dicapai dalam kedua-dua pemprosesan produk pertanian dan pelancongan luar bandar.

Sehingga kini, 1,953 perkampungan santai yang indah telah ditubuhkan dan 139 kluster perindustrian telah dibangunkan dengan setiap satunya menjana lebih RMB10 bilion yuan dalam nilai keluaran.

Video

Berita Berkaitan