Kereta Api di Guangxi Lancar Hidangan Tradisional Buat Penumpang

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 11 Februari 2025
Kereta Api di Guangxi Lancar Hidangan Tradisional Buat Penumpang
Foto memperlihatkan hidangan warisan budaya tidak ketara. (People’s Daily Online/Wang Yong)

Mutakhir ini, beberapa hidangan tradisional yang dinobatkan sebagai warisan budaya tidak ketara telah diperkenalkan di dalam kereta api dari Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di selatan China yang menuju ke Stesen Kereta Api Barat Beijing di ibu kota China.

Keceriaan jelas dapat dilihat pada wajah penumpang yang menikmati hidangan sambil berbual-bual, sekali gus menjadikan suasana lebih meriah.

Pada Chunyun atau musim kemuncak perjalanan Tahun Baru Cina kali ini, China Railway Nanning telah menambah hidangan baharu kepada pilihan makanan pada semua kereta apinya.

Kereta api Z6 khususnya kini menawarkan makanan warisan seperti Luosifen atau mi beras siput sungai, mi beras Guilin, mi beras Laoyou, pulut nasi lima warna, teh minyak dan juga Guilinggao, iaitu pencuci mulut sepanjang zaman China.

Untuk rekod, kereta api Z6 telah beroperasi selama 72 tahun. Menjangkau jarak keseluruhan 2,495 kilometer, landasan kereta api melintasi landskap China yang luas termasuk Provinsi Hunan dan Henan di tengahChina, dan Hebei di utara China sebelum akhirnya tiba di Beijing. Ia mempunyai jumlah masa perjalanan selama 22 jam dan 57 minit.

Ketua bahagian hidangan, Deng Qingyun berkata bahawa kereta api itu merentasi kawasan terbentang luas dari selatan ke utara China. Bagi memenuhi cita rasa penumpang yang pelbagai, pihaknya sentiasa menambah baik pilihan.

Bagi menjamin kesegaran kesemua makanan tersebut, semua bahan-bahan dibeli dua jam sebelum kereta api bertolak. Daripada penyediaan bahan-bahan kepada memasak, setiap langkah dilaksanakan dengan penuh teliti serta proses yang ketat.

Di samping itu, kereta api itu turut menampilkan persembahan lagu dan tarian, dan aktiviti kraf tangan warisan budaya tidak ketara seperti membuat kipas lakuer Cina, yang sekali gus membolehkan penumpang menghayati keunikan warisan budaya tidak ketara.

Video

Berita Berkaitan