Eksklusif: Duta Besar Indonesia Optimis Masa Depan Hubungan Bilateral Dengan China

Duta Besar Indonesia ke China, Djauhari Oratmangun (kiri) menerima wawancara eksklusif People’s Daily Online di Beijing, ibu negara China. (Foto ihsan Kedutaan Besar Republik Indonesia di China)

Duta Besar Indonesia ke China, Djauhari Oratmangun (kiri) menerima wawancara eksklusif People’s Daily Online di Beijing, ibu negara China. (Foto ihsan Kedutaan Besar Republik Indonesia di China)

Duta Besar Indonesia ke China, Djauhari Oratmangun menzahirkan keyakinannya terhadap masa depan hubungan dua hala antara Indonesia dan China, terutamanya dalam aspek politik, keselamatan, pembangunan ekonomi, sosiobudaya, dan kerjasama maritim.

Ketika diwawancara People’s Daily Online secara eksklusif baru-baru ini, beliau turut menekankan tentang peri penting hubungan yang kukuh serta pertukaran budaya yang saling menghormati tatkala penjalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara memasuki ulang tahun ke-75 pada tahun ini.

Djauhari berpendapat bahawa hubungan erat ini jelas terbukti melalui lawatan demi lawatan peringkat tinggi dari Indonesia ke China, termasuk kunjungan Presiden dan Menteri-Menteri Indonesia ke Beijing.

“Lawatan tersebut mencerminkan kepentingan strategik kerjasama kedua-dua negara yang semakin berkembang,” ujar Duta Besar itu.

Tradisi, inovasi China, beri impak peribadi

Pada Februari lalu, Djauhari melengkapkan tahun ketujuhnya menjadi Duta Besar di China. Justeru, People’s Daily Online turut mengambil kesempatan untuk menyingkap pengalaman peribadinya sepanjang keberadaan beliau berada di negara Tembok Besar.

Dalam perkongsiannya, Djauhari turut menceritakan bagaimana tradisi dan inovasi negara itu memberi impak terhadap perspektifnya. Beliau menekankan bahawa keseimbangan antara tradisi dan kemodenan sebagai satu elemen penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Jelas beliau, China mengajarnya tentang dinamika antara tradisi dan inovasi untuk kemajuan, yang disifatkannya sebagai luar biasa.

“Dari perkembangan insfrastruktur sehingga kulineri yang beraneka jenis, saya mempelajari bahawa perubahan bukanlah sesuatu perkara yang menakutkan. Ia juga membawa kepada kemakmuran buat masyarakat China yang mampu mengadaptasi dengan kemajuan teknologi,” kata Djauhari lagi.

Hubungan erat instrumen perkukuh kerjasama

Duta Besar Indonesia ke China, Djauhari Oratmangun (kiri) menerima wawancara eksklusif People’s Daily Online di Beijing, ibu negara China. (Foto ihsan Kedutaan Besar Republik Indonesia di China)

Duta Besar Indonesia ke China, Djauhari Oratmangun (kiri) menerima wawancara eksklusif People’s Daily Online di Beijing, ibu negara China. (Foto ihsan Kedutaan Besar Republik Indonesia di China)

Ketika diminta mengulas mengenai hubungan antara rakyat kedua-dua negara, Djauhari menegaskan bahawa hubungan erat antara masyarakat Indonesia dan China berperanan penting dalam memperkukuh kerjasama secara keseluruhan.

“Pertukaran budaya, pendidikan, dan sosial adalah kunci kepada pemahaman yang lebih mendalam serta penghormatan bersama,” katanya.

Duta Besar itu turut menekankan bahawa Indonesia boleh belajar daripada model pembangunan China, terutama dalam menyokong ekosistem perusahaan mikro, kecil, dan sederhana serta pembangunan e-dagang.

Beliau juga menggesa agar kerjasama antara sektor awam dan swasta di Indonesia dapat dipererat bagi mencontohi kejayaan China dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi.

“Kita boleh lihat pada awal kemunculan syarikat pemula di sini menjadi besar dengan dokongan oleh pemerintah seperti yang dilihat pada hari ini,” kata Djauhari yang merujuk beberapa syarikat pemula yang dahulunya kecil dan kemudiannya ditransformasi menjadi syarikat gergasi seperti ByteDance, Pinduoduo, dan AliBaba.

Djauhari turut menzahirkan harapan agar hubungan antara kedua-dua negara terus berkembang dengan kukuh berdasarkan asas kepercayaan, kepentingan bersama, dan kerjasama yang berterusan.

Video

Berita Berkaitan