China Lanjutkan Dasar Insurans Pengangguran, Jamin Kestabilan Pasaran Kerja

Foto orang ramai menghadiri pameran kerjaya di Bandar Xinghua, di Provinsi Jiangsu di timur China pada 7 Februari 2025. (Xinhua/Zhou Shegen)

Foto orang ramai menghadiri pameran kerjaya di Bandar Xinghua, di Provinsi Jiangsu di timur China pada 7 Februari 2025. (Xinhua/Zhou Shegen)

China akan melanjutkan dasar insurans pengangguran utama di sepanjang tahun 2025 sebagai langkah untuk membantu syarikat-syarikat mengekalkan pekerjaan dan membantu pekerja dalam menambah baik kemahiran, lapor agensi berita Xinhua pada Selasa.

Menurut Xinhua, pengumuman tersebut telah dibuat menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan secara bersama oleh Kementerian Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial, Kementerian Kewangan dan Pentadbiran Hasil Negara, yang menggariskan langkah-langkah untuk membantu perusahaan agar dapat mengekalkan pekerjaan.

Lapor Xinhua yang memetik dasar itu, sehingga penghujung 2025, syarikat yang tidak membuang pekerja atau meminimumkan pemberhentian kerja sementara akan terus menerima bayaran balik dalam peratusan tertentu mengikut premium insurans pengangguran yang dibayar pada tahun terdahulu.

Mengikut pekeliling itu lagi, bagi membantu para pekerja menambah baik kemahiran masing-masing, pelanjutan dasar itu telah melonggarkan syarat-syarat kelayakan, selain mengembangkan liputan untuk subsidi penambahbaikan kemahiran.

Difahamkan, langkah-langkah tersebut turut menjamin peruntukan elaun sara hidup asas termasuk faedah pengangguran, perlindungan insurans perubatan asas dan bantuan untuk individu penganggur yang lebih tua.

China telah menetapkan sasaran untuk mengekalkan kadar pengangguran bandar yang telah diselidik pada kadar sekitar 5.5 peratus pada tahun ini, sambil menyasarkan untuk mewujudkan lebih 12 juta pekerjaan bandar yang baharu pada tahun ini.

Untuk rekod, kaji selidik mendapati kadar pengangguran bandar secara puratanya berada pada paras 5.3 peratus pada suku pertama 2025.

Video

Berita Berkaitan