Kemakmuran Yang Perlu, Bukan Kemelesetan

Lautan ekonomi global bukanlah kolam peribadi milik sesiapa pun. Perbuatan mengutamakan diri atau mengambil tindakan secara unilateral melawan arus zaman. Di depan amalan perlindungan perdagangan dan unilateralisme, China memilih perpaduan untuk menangani cabaran-cabaran pembangunan dan mencari kerjasama demi keuntungan bersama, justeru berkongsi dengan dunia segala peluang pembangunan yang dibawa oleh jalan pemodenan China.

China menjunjung multilateralisme sebenar, tidak henti-henti menyuntik kedinamikan ke dalam ekonomi global menerusi pembangunannya yang berkualiti tinggi, sekali gus menjadi sebuah “oasis kepastian” di dunia yang penuh dengan pancaroba.

Sejak Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) disarankan, bidang dan skop kerjasama beransur-ansur meluas hingga faedahnya dirasai oleh rakyat lebih 150 negara. Bukan sekadar platform kerjasama antarabangsa yang paling besar, BRI juga telah menjadi barang awam antarabangsa yang paling dicari-cari.

Dengan fokus inisiatifnya pada kawasan Selatan Global, China menyarankan kerjasama yang terbuka dan inklusif dengan mengumumkan lapan langkah sokongan berserta modal pembangunan berjumlah hampir 20 bilion dolar Amerika untuk membiayai lebih 1,100 projek, pendekatan yang berhasil dalam merancakkan pembangunan di negara-negara terbabit melalui tindakan praktikal.

Tiada kekang, tiada tembok yang dapat menghambat rentak pembangunan China. Pada 2024, hampir 60,000 syarikat modal asing ditubuhkan di China, pertambahan sebanyak 9.9 peratus tahun ke tahun. Daripada 20 langkah untuk menstabilkan pelaburan asing kepada dasar sokongan perdagangan asing yang disebut dalam laporan kerja kerajaan tahun ini, China sentiasa memenuhi komitmennya terhadap keterbukaan, selain memupuk iklim perniagaan kelas pertama yang berorientasikan pasaran, berdasarkan undang-undang dan bersifat antarabangsa.

Sejak pelancaran senarai negatif akses pasaran pertama pada 2018, China telah empat kali membuat kemas kini iaitu masing-masing pada 2019, 2020, 2022 dan 2025, mengurangkan bilangan item tersenarai daripada 151 kepada 106.

Senarai semakin pendek, pintu yang sedia terbuka dibuka makin luas.

Sejajar dengan langkah China memperluas lagi “lingkungan sahabat” negara bebas visa, “nilai” pasport China turut meningkat. Pada masa yang sama, pelbagai jabatan awam juga telah memperkenalkan dasar-dasar yang mempermudah urusan warga asing di China baik dalam aspek pengangkutan, pekerjaan, pembelajaran, malahan kehidupan harian.

Ambil Beijing sebagai contoh. Sejak 17 Disember 2024, pintu bandar tersebut telah mengendalikan perjalanan lebih 1.3 juta pelancong keluar masuk, dan lebih 310,000 daripada mereka menikmati pengecualian visa. Berbanding sebelum pelaksanaan dasar terbabit, ini suatu peningkatan sebanyak 150 peratus tahun ke tahun.

Pada 27 April pula, kementerian perdagangan dan lima jabatan lain melancarkan satu pakej langkah baharu untuk mengoptimumkan dasar bayaran balik cukai, inisiatif yang meningkatkan lagi permintaan pasaran dan menambah baik perkhidmatan berkenaan. Semakin ramai warga asing mengenali China yang dinamik, dan semakin banyak syarikat multinasional menyedari bahawa melabur di China bermakna melabur dalam masa depan.

Sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, sumbangan China kepada pertumbuhan ekonomi global mencecah kira-kira 30 peratus pada puratanya. Gergasi Asia ini berstatus rakan dagang penting bagi lebih 150 negara dan wilayah, mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport barang terbesar dunia dan pengimport barang kedua terbesar dunia untuk banyak tahun berturut-turut.

China memainkan peranan penting dalam penstabilan rantaian bekalan global. Komitmen negara ini kepada keterbukaan bertahap tinggi serta kesungguhannya untuk berkongsi peluang pembangunan dengan seluruh dunia tidak pernah goyah. Dengan pasarannya yang berskala raksasa, China kian menuju ke arah keterbukaan bertahap tinggi, menjadi “sumber tenaga” dan “pengukuh kestabilan” bagi ekonomi dunia.

Video

Berita Berkaitan