Berdaya Tahan dan Bersedia: Bagaimana Pengeksport China Harungi Perubahan Global

Pengunjung yang melawat Ekspo Antarabangsa Industri Sukan ke-8 dan Kasut Jinjiang ke-25 sedang mempelajari tentang teknologi kejuruteraan kasut sniker pada 19 April 2024. (People’s Daily Online/Wang Wangwang)

Pengunjung yang melawat Ekspo Antarabangsa Industri Sukan ke-8 dan Kasut Jinjiang ke-25 sedang mempelajari tentang teknologi kejuruteraan kasut sniker pada 19 April 2024. (People’s Daily Online/Wang Wangwang)

Jinjiang, hab pembuatan pakaian dan kasut yang terletak di Provinsi Fujian, tenggara China, memiliki barisan pembuatan dengan jenama yang pelbagai.

Sebagai salah satu hab eksport utama China, bandar itu penuh dengan semangat keusahawanan dan keberanian yang mencerminkan perniagaan tempatan serta keyakinan yang mendalam terhadap daya tahan ekonomi China.

Terkenal sebagai ‘ibu kota kasut China’, Jinjiang merupakan tempat terletaknya SinceTech, iaitu pemain utama dalam rantai bekalan kasut. Syarikat yang mempunyai kepakaran khusus dalam bahagian atas kasut itu tidak asing bagi sejumlah besar jenama sniker antarabangsa.

Di dalam bengkel flyknit pintar syarikat, hampir 2,000 mesin sulam rata berkomputer berdengung serentak, sekali gus menandakan ia sedang beroperasi pada kapasiti penuh.

Menurut Xu Jianfei, timbalan ketua pejabat presiden di SinceTech, masalah perdagangan global ketika ini mempunyai kesan sedikit kepada syarikat itu. Meskipun beberapa kesan dijangka berkemungkinan muncul pada suku kedua atau ketiga tahun ini, beliau telah menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan syarikatnya untuk melakukan penyesuaian dan bertindak balas.

Difahamkan, keyakinan itu adalah jelmaan daripada komitmen berterusan syarikat terhadap inovasi. Selama bertahun-tahun, SinceTech telah melabur sekitar 4 peratus daripada hasil tahunannya ke dalam R&D dan mengambil lebih 500 kakitangan khusus untuk R&D.

“Membuat bahagian atas kasut yang berkualiti tinggi bukan sekadar tugas intensif buruh. Melalui inovasi seperti teknologi flyknit, kami telah mendigitalkan pembuatan. Dengan hanya satu klik pada komputer boleh menghantar arahan menyulam kepada mesin, dan seorang pekerja kini boleh mengawasi sepuluh mesin pada satu-satu masa,” jelas Xu.

Foto menunjukkan payung yang dikeluarkan oleh Syarikat Fujian Yoana Umbrella Technology. (Foto Jinjiang Economy News)

Foto menunjukkan payung yang dikeluarkan oleh Syarikat Fujian Yoana Umbrella Technology. (Foto Jinjiang Economy News)

Hari ini, SinceTech telah bergerak melangkaui pembuatan kontrak tradisional untuk terlibat secara lebih mendalam dalam pembangunan produk untuk pelanggannya, seterusnya menjadi sebagai sebahagian penting dalam rantai inovasi dan perindustrian. Keupayaan hujung ke hujung tersebut telah membantu untuk memperkukuh perkongsian jangka panjang serta memperkuat kesetiaan pelanggan.

“Kami sentiasa mengeluarkan reka bentuk baharu,” ujar Xu sambil berkongsi seloroh oleh para pelanggannya yang menyatakan mereka perlu kerap datang supaya tidak ketinggalan reka bentuk baharu.

Di perbandaran Yinglin di Jinjiang, dengan kawasan yang kurang daripada 30 kilometer persegi, industri pakaian renang tempatan sedang mengalami ledakan. Dengan lebih daripada 200 syarikat yang menghasilkan sut renang dan pakaian pantai, Syarikat Jinjiang Qicaihu Garments Weaving kelihatan lebih menonjol menerusi keupayaannya untuk mengembangkan jejak kaki antarabangsanya dengan pesat.

Sekitar tujuh ke lapan tahun dahulu, permintaan telah meningkat secara mendadak, yang dipacu oleh kerjasama Jalur dan Laluan yang berkualiti tinggi. Pada 2024, syarikat tersebut telah menjual 33 juta unit dan mencapai kenaikan dalam hasil sebanyak 12 peratus.

Tempahan bagi pakaian renang adalah sangat bermusim. Xu Yongzhu, timbalan pengurus besar syarikat itu menjelaskan bahawa tempahan dari Amerika Syarikat pada tahun lalu telah dilangsaikan menjelang awal April lalu.

Tatkala tempahan masa depan berkemungkinan terkesan, syarikat tersebut aktif untuk mengimbangi penurunan dengan meningkatkan permintaan dari pasaran lain.

Xu turut menceritakan anekdot ketika diminta berkongsi tentang bagaimana syarikatnya mengekalkan pertumbuhan di sebalik ketidaktentuan.

Pada 2016, seorang pembeli yang berpontesi dari Mesir telah datang dan menerokai tentang pemerolehan fabrik. Selepas melawat fasiliti pengeluaran berintegrasi penuh Qicaihu, individu tersebut telah membuat keputusan untuk membina kilang di Mesir, dengan Qicaihu membekalkan peralatan mencetak dan menyulam serta bahan mentah, aksesori dan panduan teknikal. Model kerjasama tersebut juga telah berkembang ke Vietnam, Filipina dan Kenya.

Qicaihu ketika ini terlibat dalam setiap aspek rantai bekalan pakaian renang – daripada pembekalan bahan mentah dan reka bentuk kepada pengeluaran. Ia bukan sahaja mengeksport produk siap, tetapi turut mengeksport keseluruhan rantai bekalan.

“Penghasilan pakaian renang sentiasa berputar semula ke perbandaran Yinglin,” kata Xu, sambil berkongsi bahawa rantai perindustrian yang sukar dialih berbanding perniagaan perseorangan telah memberikan mereka daya tahan tatkala mendepani kejutan luaran.

Logik yang sama turut teraplikasi di perbandaran Dongshi, yang terkenal sebagai ‘Pekan Payung China,’ yang menghasilkan satu daripada setiap empat payung di seluruh dunia. Di Syarikat Fujian Yoana Umbrella Technology, Wang Xiangpeng selaku pengurus besar telah memperkenalkan katalog syarikat yang memperlihatkan payung dalam warna, fabrik dan gaya yang tidak pernah dijangka-jangka, di samping dengan pelbagai fungsi baharu.

Wang turut menyifatkan bahawa pasaran domestik China yang besar adalah asas kepada keyakinan syarikat itu untuk berinovasi, iaitu kelebihan kompetitif yang sukar ditiru di tempat-tempat lain.

Foto menunjukkan bengkel pintar Syarikat Jinjiang Qicaihu Garments Weaving di Jinjiang, Provinsi Fujian di tenggara China. (Foto ihsan Dewan Perniagaan Besar Jinjiang)

Beliau turut memberikan contoh praktikal iaitu, mencipta acuan baharu mungkin menelan kos RMB100,000 (AS$13,724). Jika pesanan awal hanya 10,000 payung, ia sekali gus menambah RMB10 yuan setiap unit, iaitu premium yang tinggi. Tetapi dengan pesanan yang lebih besar iaitu 300,000 payung, kos tambahan turun kepada hanya RMB0.3 bagi setiap payung, iaitu masih dalam lingkungan julat yang sanggup pengguna bayar untuk kualiti yang lebih baik.

Dengan skala pasaran China dan antarabangsa, syarikat itu telah berkembang daripada pembuatan kontrak kepada R&D, reka bentuk dan penjenamaan bebas.

“Apabila kualiti produk tinggi, pelanggan tidak tawar-menawar harga,” kata Wang. Hari ini, payung syarikat dijual di lebih 80 negara di seluruh Eropah, Amerika Selatan dan Afrika.

Bagi ketidaktentuan yang menyelubungi pasaran global, Wang kekal optimistik.

“Produk yang baik sentiasa mencari pasaran. Dengan menerima perubahan dan kekal proaktif, peluang baharu dan pasaran baharu akan terus muncul,” ujar beliau.

Video

Berita Berkaitan