China Kembangkan Akses Bebas Visa Kepada Negara Amerika Latin, Mahu Pacu Hubungan Perdagangan

Buat pertama kalinya sejak 2017, seorang warga Peru, Sanchez Lopez telah bersedia untuk kembali ke China. Namun, pada kali ini, dia tidak dibebani dengan prosedur masuk yang dahulunya rumit.

“Meskipun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat besar, I pernah merasakan bahawa pergi ke China seolah-olah sedang mendepani lautan kesukaran,” ujar Marcel Sanchez yang mengepalai firma tenaga utama yang mempunyai hubungan lama dengan pembekal peralatan gas China iaitu Syarikat Tianjin Sinogas Repower Energy.

Ujarnya, dengan dasar bebas visa ketika ini, beliau akan mengambil kesempatan tersebut untuk membawa keluarganya bersama-sama bagi tujuan kerja dan jalan-jalan.

Untuk rekod, mulai 1 Jun 2025, penduduk bagi negara Brazil, Argentina, Peru, Chile dan Uruguay akan dibenarkan untuk memasuki China secara tanpa visa selama 30 hari bagi tujuan perniagaan, pelancongan, pertukaran budaya atau transit.

Difahamkan, dasar tersebut yang akan melalui fasa percubaan sehingga 31 Mei 2026 telah diumumkan oleh Kementerian Luar China pada baru-baru ini.

Dasar yang diperkenalkan semasa mesyuarat menteri-menteri Forum China-CELAC (Komuniti Negara-negara Caribbean dan Latin Amerika) keempat di Beijing awal bulan ini itu adalah selari dengan inisiatif China yang diperluaskan untuk memanjangkan pengecualian visa dan memupuk pertukaran mesra dengan lebih banyak negara Caribbean dan Amerika Latin (LAC).

Bagi syarikat China yang mempunyai hubungan perdagangan di rantau itu, tindakan tersebut dilihat sebagai langkah yang dinanti-nantikan dan menuju ke arah kerjasama yang bermakna.

“Ia menyelesaikan kejejalan sebenar dalam operasi perniagaan kami,” ujar Ryan Yang, pengurus besar Sinogas, iaitu firma teknologi tenaga di Tianjin yang mengeksport ke Mexico, Colombia, Peru, Chile dan Brazil.

Jelasnya, pelanggan kini boleh datang ke kilang untuk membuat pemeriksaan, demo produk, dan sesi latihan tanpa penangguhan visa selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Marcel Sanchez, yang syarikat telah mula bekerja dengan Sinogas pada lapan tahun lalu berkata bahawa bebanan visa sering memberi cabaran terhadap kerjasama.

“Dahulu, kami perlu melepaskan lawatan kerja dan hanya bergantung kepada bantuan jarak jauh daripada rakan China kami. Kini, kami boleh berkolaborasi secara bersemuka semula, dan disitulah di mana kemajuan sebenar akan berlaku,” tambah beliau.

Yu Haibo, profesor madya yang khusus dalam pengurusan pelancongan di Universiti Nankai di Tianjin berpendapat bahawa tindakan China untuk meneruskan pengembangan dasar bebas visa disamping usaha bagi mempermudah kemasukan telah memberikan isyarat jelas terhadap komitmen negara itu dalam pembukaan berpiawaian tinggi.

Beliau berkata, langkah-langkah tersebut menonjolkan usaha dan keazaman China untuk mempromosi bentuk globalisasi ekonomi yang lebih dinamik, terangkum dan berdaya tahan.

Perdagangan antara China dan negara-negara LAC telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh sedekad yang lalu, dengan mencapai sebanyak AS$518.4 bilion pada 2024.

Produk China termasuk kenderaan elektrik istimewa telah dieksport secara meluas ke negara LAC, sementara barangan daripada rantau itu juga menjadi popular di China, dengan ceri Chile dan daging Argentina menjadi makanan ruji dalam kalangan isi rumah di China.

Sun Yanfeng, seorang penyelidik di Institut Kajian Amerika Latin di bawah Institut Hubungan Antarabangsa Kontemporari China, menyatakan bahawa negara-negara Amerika Latin ternanti-nantikan untuk meningkatkan eksport melalui hubungan ekonomi dan perdagangan mereka dengan China.

Justeru, beliau berkata bahawa dasar bebas visa itu akan memudahkan lawatan usahawan Amerika Latin, terutamanya dari perusahaan kecil dan sederhana, dengan memudahkan prosedur perjalanan.

Syarikat Tianjin Free Trade Service, iaitu penyedia perkhidmatan utama untuk ribuan pengeksport kecil dan sederhana, mempunyai pasukan pembangunan perniagaan yang bersedia untuk lebih banyak lawatan masuk.

“Dasar ini akan membawa rakan kongsi Amerika Latin ke depan pintu kami. Tanpa kekangan visa, orang ramai lebih bersedia untuk datang, melihat, dan mempercayai,” kata Du Chen, seorang pengurus di syarikat itu.

Elizabeth Milagros Alvarado Taco, siswazah dari Peru dalam jurusan perniagaan antarabangsa di Universiti Pengajian Asing Tianjin, berkata dasar bebas visa itu akan mempercepatkan aktiviti perniagaan, menjadikannya lebih mudah bagi usahawan dan ahli perniagaan Amerika Latin untuk datang ke China bagi tujuan berunding, melawat kilang atau pameran perdagangan.

“Ia juga boleh memudahkan penggiliran pasukan antarabangsa, menambah baik penyelarasan projek multinasional, selain turut mengurangkan kos dan masa pemprosesan. Secara keseluruhan, kemudahan ini akan menggalakkan pelaburan dua hala dan kerjasama korporat," katanya.

Video

Berita Berkaitan