- Lain-lain
‘Pasar Raya Dunia’ Yiwu Sambung Perdagangan Dengan AS Sambil Kembangkan Capaian Global
Seorang pembeli asing sedang membeli pemerah jus di Pesta Barang Rumah, Produk Fesyen dan Hadiah Yiwu pada 18 Mei 2025. (People’s Daily Online/Shi Bufa)
Susulan daripada kemajuan ketara oleh mesyuarat peringkat tinggi mengenai hal ehwal ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS), para peniaga di Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu, Provinsi Zhejiang di timur China, yang digelar sebagai ‘pasar raya dunia’, sibuk berhubung semula dengan pembeli dari AS, manakala syarikat penghantar barang dan firma logistik turut menyaksikan lonjakan aktiviti.
Wang Nan, pengurus besar Kedai Alat Perkakasan Kenan, merupakan salah satu daripada ramai peniaga yang menyediakan penghantaran ke AS.
“Kami pernah menghantar satu kontena setiap bulan kepada pelanggan Amerika kami, tetapi penghantaran telah ditangguhkan pada bulan April.
“Pada hari kenyataan bersama daripada rundingan China-AS dikeluarkan, pelanggan kami segera mewujudkan semula hubungan. Mereka bukan sahaja menyambung semula pesanan sebelumnya tetapi juga membuat pesanan tambahan,” jelasnya lagi.
Menurut Wang, pelanggan telah merancang untuk membuka kedai francais di New York pada Julai, tetapi rancangan itu tersekat pada April. Bagaimanapun, beliau berkata mereka kini telah mengesahkan kedai itu akan dibuka seperti yang dijadualkan.
Sementara pesanan dari AS kembali pulih, perniagaan di Yiwu pula mempelbagaikan portfolio global masing-masing secara serentak.
Liu Jianhao, ketua jualan di Syarikat Zhejiang Rifeshow Cosmetics telah melawat beberapa negara Afrika sejak kebelakangan ini untuk meluaskan kehadiran pasaran syarikat.
“Selepas kenyataan bersama dikeluarkan, pelanggan Amerika kami terus menghubungi kami. Kini, kami dapat memenuhi pesanan yang ditangguhkan sebelum ini.
“Dan kami bekerja keras untuk memulihkan kerugian prestasi dari April,” kata Liu.
Seorang pembeli asing sedang membelek-belek barangan Hari Natal di Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu, Provinsi Zhejiang di timur China, pada 13 Mei 2025. (People’s Daily Online/Shi Kuanbing)
Pada tahun-tahun mutakhir ini, Rifeshow telah mempelbagaikan jejak langkahnya di luar negara dengan penuh stabil. Jelas Liu, peluasan itu memfokuskan perkembangan di Tanzania, Senegal, Nigeria, dan Ghana.
“Minyak wangi buatan China sangat popular di Afrika, dan kami sedang membangunkan produk yang dihasilkan khusus mengikut permintaan tempatan. Apabila anda mempunyai rantai bekalan yang stabil dan kuat, pasaran yang besar dan kualiti yang baik bermaksud jualan yang kukuh,” tambah Liu.
Dinamika yang sama juga dapat dilihat di Syarikat Pengeluar Pakaian Sirou Linhai yang terletak di Linhai, Provinsi Zhejiang. Baru-baru ini, syarikat itu telah melipat ganda pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat dari AS.
“Pelanggan Amerika kami dengan segera meningkatkan volum pesanan, biasanya dengan batas waktu yang sangat singkat. Pekerja kami bekerja secara lebih masa untuk memenuhi permintaan tersebut,” ujar Shao Jingfeng, pengurus besar syarikat itu, sambil memberitahu bahawa pelanggan dari AS turut kembali kepada mereka sebanyak beberapa kali pada bulan lalu, sekali gus memncerminkan produknya yang sangat kompetitif.
Shao juga turut menitikberatkan transformasi syarikat, dengan fokus strategik dalam mengurangkan kebergantungan terhadap satu pelanggan atau pasaran. Pada tahun ini, Sirou merancang untuk berkembang ke Amerika Selatan, Asia Tenggara, dan Eropah, sambil turut memperdalam lagi keberadaan mereka dalam pasaran domestik.
Kesan beriak daripada peningkatan aktiviti perdagangan turut dirasai dalam kalangan penyedia perkhidmatan logistik. Yinghe Express, syarikat logistik e-dagang rentas sempadan terbesar di Yiwu yang sinonim dalam eksport AS telah melaporkan peningkatan mendadak dalam perniagaan.
Peniaga pasaran Yiwu menghadiri kelas bahasa Sepanyol, 14 Mei 2025. Pada Mac tahun ini, pasaran mula menawarkan kursus Bahasa Inggeris, Arab dan Sepanyol percuma untuk meningkatkan daya saing global peniaga. (People's Daily Online/Shi Kuanbing)
“Sejak kenyataan bersama dikeluarkan, penghantaran ke AS telah melonjak hampir 30 peratus,” kata Cheng Hongrui, ketua bahagian jualan di syarikat itu.
Kadar pengangkutan turut sama meningkat seiring dengan permintaan.
"Penghantaran kontena kiub setinggi 40 kaki telah meningkat daripada kira-kira AS$2,500 kepada lebih AS$3,000 minggu lepas. Di pasaran sekunder pula, pembeli malah turut membayar premium hanya untuk mendapatkan kontena,” kata Cheng, sambil menzahirkan kepercayaan bahawa lonjakan baru-baru ini mencerminkan pelepasan permintaan yang tertangguh.
“Apa yang kita saksikan ialah gelombang pesanan tertangguh yang diselesaikan. Keadaan dijangka stabil dalam masa yang singkat. Untuk perniagaan, pertumbuhan datang melalui menavigasi kedua-dua cabaran dan peluang,” tambah beliau.
- ‘Pasar Raya Dunia’ Yiwu Lancarkan Susun Balik Perdagangan Baharu
- Produk Tema Tahun Ular Laris di “Pasar Raya Dunia”
- Hab Komoditi Kecil Yiwu Hubung dengan Pasaran Global
- Komoditi Dari Yiwu Capai Pasaran Besar Menjelang Sukan Olimpik Paris
- Pasaran Borong Yiwu Makmur Didorong Sukan Olimpik Paris
- Kenali Beixiazhu, Kampung Penstriman Langsung E-dagang No.1 di China
- Yiwu Terima Permintaan Tinggi untuk Barangan Sukan Menjelang Paris 2024
- Perjalanan Yiwu Ke Arah Hab E-dagang Rentas Sempadan Terkemuka Dunia