AS Didesak Batalkan Semua Sekatan Atas China Termasuk Akta Perdagangan Seksyen 301

(CRI)Jumaat 06 Jun 2025

China mendesak Amerika Syarikat (AS) agar membatalkan semua langkah sekatan terhadap China termasuk Akta Perdagangan Seksyen 301 yang berkaitan tarif, dan bersama-sama menjunjung semangat konsensus yang tercapai dalam rundingan di Geneva supaya memacu hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS berkembang secara sihat, stabil dan mampan.

Demikian dinyatakan oleh Jurucakap Kementerian Perdagangan China, He Yongqian dalam sidang akhbar semalam ketika ditanya wartawan mengenai keputusan Pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) pada 1 Jun lalu untuk melanjutkan tempoh pengecualian bagi China yang sudah tamat pada 31 Mei 2025 hingga 31 Ogos 2025, berhubung siasatan berkaitan pemindahan teknologi, harta intelek dan inovasi mengikut Akta Perdagangan Seksyen 301.

He berkata, Akta Perdagangan Seksyen 301 berkaitan langkah tarif AS merupakan tindakan unilateralisme dan proteksionisme yang tipikal dalam bidang perdagangan. Sebelum ini, panel pakar Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pernah memutuskan langkah tarif AS itu tidak selaras dengan peraturan WTO.

Ada juga wartawan yang bertanya mengenai kenyataan Rumah Putih AS pada 3 Jun lalu bahawa Presiden Donald Trump mengumumkan akan menaikkan tarif import bagi keluli, aluminium dan produk sampingannya dari 25% kepada 50%.

Menyentuh tentang hal itu, He menyatakan bahawa AS didesak untuk menghormati prinsip ekonomi dan memilih duduk di satu meja menangani keprihatinan masing-masing melalui dialog yang sama rata supaya dapat bersama-sama melindungi kestabilan rantaian bekalan dan perindustrian global.

Video

Berita Berkaitan